Monday, March 22, 2010

Belum terdesak mencari cinta


HEBAT... Anuar (kiri) bersama Mahmoud Skaf (tengah) dan Xandria Ooi pada sidang akhbar Secretaries' Week 2010 Celebration With Anuar Zain di Hotel JW Mariott, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


RASANYA masih belum ada mana-mana penyanyi lelaki di negara ini yang mampu merampas gelaran 'Lelaki Idaman Malaya' daripada Anuar Zain.

Biarpun sudah sedekad muncul di persada seni tanah air sebagai penyanyi solo, namun, keperibadian dan karisma Anuar tetap dipuja oleh peminatnya khususnya kaum Hawa.

Begitulah kuatnya pengaruh Anuar yang bukan sahaja memiliki paras rupa yang menjadi igauan peminat wanitanya, tetapi kelebihan Anuar juga terletak kepada kemantapan vokalnya.

Berbicara tentang Anuar, semua sedia maklum bahawa dia seorang yang cukup cerewet dalam segala aspek baik dalam kerjayanya juga dalam kehidupan peribadinya.

Mengakui bosan dan letih dengan persoalan tentang jodoh dan perkahwinan, tetapi sebagai seorang artis, Anuar mengakui dia tidak mampu mengelak daripada ditanya tentang soal hati.

Tanggal 15 Februari lalu, Anuar genap berusia 40 tahun dan sekali lagi penyanyi bersuara mantap ini disoal tentang persoalan cinta dan jodoh.

Sambil ketawa besar dan perkataan boring terpacul dari mulutnya, Anuar dengan penuh diplomasi menjawab segala pertanyaan tentang kehidupan peribadinya.

Kata orang, bagi seorang lelaki yang menginjak ke usia 40 tahun memang sudah terlebih haul dan layak untuk mendirikan rumah tangga.

Tetapi, Anuar masih selesa bersendirian dan tertanya juga sebagai seorang artis ternama, tidakkah dia berasa sunyi tanpa seorang teman di sisinya.

Mungkin ketika muda dahulu, perasaan itu tidak terlalu dirasakan tetapi dalam usianya kini yang sudah 40 tahun, mungkinkah perasaan itu sudah berubah?

"Jujurnya, kadang-kala apabila berkumpul bersama dengan keluarga dan melihat adik-beradik yang lain bersama anak-anak mereka, terlintas juga perasaan sunyi itu dalam hati saya.

"Tetapi, selepas lima atau 10 minit, perasaan itu berlalu begitu sahaja dan saya kembali gembira serta ceria.

"Walaupun sudah berusia 40 tahun, saya masih lagi seperti dulu dan belum sampai tahap terdesak untuk mencari cinta.

"Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini yang terus membuat saya gembira dengan kehidupan saya," ungkap Anuar penuh jujur saat ditanya tentang kehidupannya sebaik sahaja melangkah usia 40 tahun.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain ditemui selepas sidang akhbar Secretaries' Week 2010 Celebration With Anuar Zain anjuran Hotel JW Mariott, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar Hotel JW Mariott, Mahmoud Skaf dan pengacara jelita, Xandria Ooi.

Kolaborasi Anuar dengan hotel terkemuka itu merupakan yang ketiga selepas tahun 2005 dan 2007.

Menyambung bicara, Anuar memberitahu kedua ibu bapanya, Zain Abdullah dan Robiah Abdul tidak pernah mendesaknya untuk mendirikan rumah tangga.

Mungkin kerana Anuar sendiri sudah memberikan 'amaran' kepada mereka untuk tidak lagi mempersoalkan tentang perkahwinan.

Malah, sempat juga Anuar berkongsi cerita bagaimana kedua ibu bapanya cuba untuk menjodohkannya dengan seseorang yang tidak dikenalinya.

Sedangkan ketika itu, dia mempunyai teman wanita tetapi tidak diberitahu kepada ibu dan bapanya tentang hubungan itu.

"Saya menolak dengan baik dan berkata kepada mereka soal jodoh biarlah saya tentukan sendiri kerana saya yang akan melaluinya.

"Memang soal jodoh itu ketentuan Allah SWT tetapi sebagai manusia, kita berhak untuk mencari jodoh kita sendiri untuk membina sebuah kehidupan yang bahagia.

"Saya harus akui bahawa saya memang cerewet dalam soal jodoh kerana perkahwinan bukan satu perkara yang harus kita ambil ringan atau menganggapnya sebagai remeh-temeh.

"Kerana itu, saya amat berhati-hati tentang soal ini tetapi seperti saya katakan tadi, saya gembira dengan hidup saya meskipun masih lagi solo kerana saya dapat melakukan perkara yang saya inginkan," ujar pelantun lagu I'm The Lucky One dan Keabadian Cinta ini lagi.

Jelas Anuar, selepas 12 tahun bergelar penyanyi solo, dia mampu tersenyum dengan pencapaiannya setakat ini yang lahir daripada impian dan cita-cita yang ditanamnya sejak dulu.

Kerana itu, dia tidak berasa ralat kalau dalam usianya kini, dia masih lagi bersendirian tanpa kehadiran suri di dalam hidupnya.

Satu yang pasti tentang Anuar, biarpun sudah berumur 40 tahun, namun dia masih tampak segak dan segar yang tidak menampakkan dia sudah menginjak ke usia tersebut.

Sempat diusik, apakah rahsia yang diamalkannya dan sambil ketawa kecil, Anuar hanya menggelengkan kepalanya.

"Tiada apa rahsia yang saya amalkan. Mungkin ia daripada keturunan agaknya. Lihatlah sahaja ibu dan bapa saya yang masih lagi cergas dan nampak muda.

"Begitu juga dengan kakak saya, Ziana yang sudah berusia 42 tahun dan mempunyai empat orang anak. Tetapi, dia masih nampak muda seperti anak dara.

"Bagi saya, apa yang saya pentingkan adalah meminum air yang banyak setiap hari sekurang-kurangnya dua liter agar mudah toksik disingkirkan dari dalam.

"Saya juga mengelakkan diri saya daripada melakukan perkara yang boleh membuatkan saya stres kerana itu memang tidak bagus untuk kesihatan.

"Keterampilan itu juga amat saya titik beratkan baik dari segi penjagaan wajah mahupun cara berpakaian. Dalam usia saya sebegini, saya suka pakaian yang murah tapi nampak cantik apabila memakainya," jelasnya yang kini tampil dengan potongan rambut kemas yang menampakkan dirinya lebih muda.

Perbualan menjadi semakin rancak saat Anuar ditanya tentang album keempatnya yang sudah siap menjalani rakaman vokal.

Jelas anak kedua daripada lima adik-beradik ini lagi, kesemua 10 buah lagu sudah dirakamkan dan yang tinggal kini hanyalah untuk melakukan proses susunan muzik sahaja.

Selepas tiga tahun muncul dengan album Anuar Zain yang memuatkan lagu popular, Lelaki Ini dan Ketulusan Hati, Anuar sudah tidak mahu menunggu lama lagi untuk muncul dengan album baru.

Selalunya, pembikinan album Anuar akan memakan masa selama empat hingga lima tahun, tetapi kali ini, Anuar akur dengan permintaan peminatnya.

Memang sebelum ini, Anuar pernah memberitahu apa pun yang terjadi, dia akan tetap memuatkan 10 buah lagu dalam album-albumnya.

Tetapi, kali ini, Anuar harus akur dengan situasi apabila kemungkinan besar, albumnya itu kelak akan hanya menampilkan lapan buah lagu sahaja.

Bukan mahu menipu peminat sebaliknya jelas Anuar, kos pembikinan album keempatnya itu sudah meningkat dan kini mencecah RM157,000 hanya untuk lagu dan muzik sahaja.

Katanya, kos itu belum masuk lagi kos untuk susunan muzik, kulit album, adunan muzik dan lain-lain lagi.

"Tetapi, semuanya bergantung kepada keadaan dan kita lihat sahaja bagaimana nanti. Kalau semuanya berjalan lancar, mungkin akan dimuatkan dengan 10 buah lagu.

"Saya tidak kisah kalau hanya lapan lagu yang dimuatkan yang penting berkualiti tinggi. Soal itu memang saya tidak akan berkompromi kerana saya perlu memberi kepuasan kepada peminat yang mengeluarkan wang membeli album saya," katanya bersungguh-sungguh.

Untuk album kali ini, Anuar telah merakamkan enam lagu ciptaan komposer Indonesia iaitu Numata sebanyak dua lagu, Nico Ajie Bandy (dua), Adrian Marthadinata (dua) dan sebuah lagu daripada Ari Bias.

Manakala komposer Singapura dan Malaysia yang menyumbang karya mereka dalam albumnya kali ini ialah Hong Tat, Hazami dan Alwyn Santiago.

Buat masa ini, Anuar dan pihak pengurusannya masih lagi berbincang untuk memilih lagu terbaik untuk dijadikan single .

Anuar juga tidak kisah jika album terbarunya itu dijadikan mangsa permainan politik oleh sesetengah pihak seperti mana yang pernah menimpa album ketiganya dulu.

"Saya melakukannya semua ada sebab kerana perkara pokoknya adalah kepuasan untuk diri saya dan juga peminat.

"Saya senang berkerjasama dengan komposer Indonesia kerana mereka tahu apa yang saya mahukan serta bertoleransi jika ada perkara yang tidak memuaskan hati saya.

"Satu hal lain pula, saya akui memang susah untuk saya mencari lagu komposer tempatan yang dapat memberi apa yang saya mahukan," kata Anuar yang pernah dinobatkan sebagai Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini.

Dalam masa yang sama juga, Anuar tetap tidak putus harapan untuk mencari penaja bagi mengadakan konsert solonya tahun ini selepas kejayaan Konsert Lelaki Ini di Istana Budaya tahun lalu.

Dalam kerancakan berbual dengan jejaka yang murah dengan senyuman ini, tiba-tiba nada suaranya bertukar tegas apabila memperkatakan tentang khabar angin tidak berasas tentang dirinya ditaja oleh orang kenamaan.

Cerita ini sebenarnya sudah lama dibangkitkan dan Anuar sendiri sudah menjelaskan serta menafikan dakwaan palsu itu apabila ia dihebohkan.

Tetapi, entah bagaimana, cerita karut itu muncul kembali tetapi kali ini mengaitkannya dengan orang lain pula.

"Saya tidak faham mengapa cerita ini masih lagi timbul sedangkan saya tidak melakukan perkara-perkara yang dikatakan itu.

"Cukup-cukuplah membuat fitnah dan cerita yang bukan-bukan kerana saya masih lagi waras dan mampu berfikir mana yang baik dan tidak.

"Apa yang saya miliki hari ini adalah daripada hasil titik peluh dan kerja keras saya selama ini. Perlukah saya menghebohkan kepada semua tentang simpanan dan harga bayaran untuk persembahan saya.

"Saya fikir biarlah ia menjadi perkara yang peribadi kerana saya tidak mahu dikatakan riak dan saya bukan orang yang begitu," ujarnya dalam nada tegas dan memohon agar cerita sedemikian dimatikan segera.

Kolaborasi ketiga

Tahun 2010 menyaksikan kali ketiga Anuar berkerjasama dengan Hotel JW Mariott bagi mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha.

Bakal mengadakan persembahan selama dua hari berturut-turut pada 14 dan 15 April ini, bekas pramugara Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini menjanjikan satu persembahan yang akan diingati oleh peminat dan setiausaha.

Masih lagi diterajui Alwyn selaku pengarah muzik, Anuar memberitahu persembahannya akan menampilkan sedikit pembaharuan apabila akan menyelitkan unsur muzik jazz dan swing.

"Saya juga akan mendendangkan dua buah lagu baru saya dalam persembahan ini selain lagu-lagu popular saya.

"Ia juga termasuk lagu-lagu kegemaran saya daripada penyanyi lain," ujarnya yang hanya menjadi milik eksklusif hotel ternama itu dalam menjayakan Minggu Setiausaha tahun ini.

Bagi mereka yang tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan Anuar, pastikan anda mendapatkan tiket-tiket yang berharga RM575 (1st Tier), RM460 (2nd Tier) dan RM420 (3rd Tier).

Sebarang pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi 03-2719 8666 atau emel kepada jwmsecweek@ytlhotels.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: