Monday, March 22, 2010

Dulu penyanyi kini pensyarah


AKSI Irene ketika mengajar vokal di ICOM.


PEMILIK wajah manis bermata cantik, Irene Savaree, 40an, ini cukup terkenal di kalangan para pelajar International College Of Music (ICOM) sebagai pensyarah dan juga Presiden ICOM.

Namun, bagi mereka yang membesar sealiran era 80-an, dia dikenali sebagai penyanyi yang pernah membuai rasa peminatnya dengan lagu-lagu dendangannya.

Dewasa ini mungkin tidak ramai yang masih mengingati kumpulan adik-beradik perempuan, Cenderawasih yang dianggotai oleh Irene bersama kakaknya, Helen ketika itu.

Siapa sangka, daripada menyanyi di kelab, profil seni Irene di zaman remajanya pantas sahaja menginjak ke aliran arus perdana setelah persembahan bersama kakaknya di sebuah kelab di ibu kota ditonton oleh penerbit album terkenal, S. Atan ketika itu.

Kerana bakat yang ada, tawaran kontrak selama tiga tahun bersama syarikat rakaman EMI dirasakannya tidak harus dipersiakan begitu sahaja.

Itulah langkah awal pembabitan seni Irene dan Helen di persada seni.

Malah, lagu dendangan mereka Deritamu Deritaku yang dipetik daripada album pertama yang dirakamkan pada tahun 1984 cukup popular di kalangan peminat seni ketika itu.

Masa berubah, dua tahun bermandi cahaya glamor dan setelah mempunyai dua album - Cenderawasih Volume 1 - Sepanjang Perjalanan (1984), Cenderawasih Volume 2 (1985) membuatkan kumpulan adik-beradik itu mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari bidang seni.

Jika Irene memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik major vokal di Berkley College Of Music di Amerika Syarikat, kakaknya pula memilih menamatkan zaman solo dan kini menetap bersama suaminya di Switzerland.

Apa yang pasti, ketaksuban Irene terhadap muzik tidak terkubur begitu sahaja.

Dan apabila kembali ke tanah air sekitar tahun 1990 selepas menamatkan pengajian, Irene membuka studio mini di kediamannya sendiri.

Ketika itu, kata Irene, dia hanya memiliki enam pelajar sahaja berbanding kini, melebihi 200 orang pelajar di ICOM.

Teknologi bukan perosak industri

"Cukuplah dengan apa yang saya kecapi dahulu. Saya cukup gembira dengan kehidupan saya dalam bidang pendidikan.

"Sebagai presiden di ICOM saya cukup gembira kerana dalam masa yang sama, selain melakukan perkara yang saya minati, saya juga membina bakat pemuzik muda yang benar-benar berminat untuk mendalami ilmu muzik.

"Saya bersyukur dengan apa yang saya lakukan sekarang. Dahulu saya menyanyi, mengelilingi tanah air menghiburkan peminat tetapi kini saya terjemahkan pengalaman yang pernah saya harungi dengan mengajar," kata Irene ketika ditemui di Wisma ICOM , Lorong Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menjadi pendidik baginya satu terapi yang cukup baik bagi seseorang individu yang begitu meminati muzik.

"Menyanyi sebenarnya bukan untuk diri sendiri. Menyanyi merupakan salah satu cara komunikasi yang unik untuk disampaikan kepada orang lain menerusi bait-bait liriknya.

"Walaupun sekarang saya merupakan presiden, namun saya masih mengajar untuk menterjemah minat serta mengetahui tahap kebolehan para pelajar," katanya yang turut mengajar vokal di ICOM.

Modul-modul pembelajaran yang ditawarkan di ICOM ialah susunan muzik, penghasilan muzik, vokal, penulisan lagu dan persembahan muzik.

Antara artis popular yang pernah mendapat pendidikan di ICOM ialah Noryn Aziz, Vince, beberapa anggota kumpulan Estrange, Pop Shuvit dan Najwa Mahiaddin.

Berbicara tentang industri muzik kini, kata Irene, pelbagai perubahan positif dapat dilihat kini berbanding era ketika aktifnya dulu.

"Industri muzik berubah dengan luas kini. Daripada zaman kaset berubah ke zaman cakera padat dan kini melangkah pula ke era muat turun, bagi saya suatu perkembangan yang cukup baik.

"Ia merupakan satu perkembangan dalam teknologi yang membantu ramai artis menjual produk mereka dengan lebih mudah di zaman serba canggih ini.

"Jika dikatakan perkembangan teknologi terutamanya muat turun sebagai pelumpuh industri muzik bagi saya tidak betul.

"Sekiranya kita tahu menggunakan sebuah teknologi yang ada, semuanya akan jadi lebih mudah," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan Irene sempat menyatakan harapannya agar dalam tempoh 20 hingga 25 tahun akan datang, industri muzik tempatan bakal berdepan perubahan besar yang positif bukan sahaja kerana diterajui oleh pemuzik pelapis yang berbakat tetapi juga lepasan pelajar dari ICOM sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: