Monday, March 15, 2010

Kerajaan Thai diberi kata dua


SEBAHAGIAN besar penunjuk perasaan pro-Thaksin berhimpun di sebatang jalan raya di Bangkok semalam.


BANGKOK - Puluhan ribu penyokong bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra semalam berikrar akan berarak ke beberapa berek tentera yang mengawal pegawai-pegawai kerajaan selepas mereka meningkatkan bantahan di sini semasa pihak berkuasa melakukan kawalan keselamatan yang ketat.

Thaksin yang dua kali dilantik sebagai perdana menteri dan menetap di Dubai bagi mengelak ditangkap dan dipenjarakan kerana kesalahan rasuah di negara asalnya, masih popular di kalangan penduduk pendalaman negara itu kerana dasarnya yang banyak membantu mereka semasa berkuasa pada 2001.

Bekas perdana menteri itu menyeru para penyokongnya yang menggelarkan diri mereka Baju Merah supaya menyertai tunjuk perasaan itu melalui mesej di laman web jaringan sosial, Twitter miliknya kelmarin.

Pihak penganjur tunjuk perasaan kumpulan tersebut menyatakan lebih 100,000 orang telah berhimpun berhampiran pejabat-pejabat kerajaan di sini bagi menuntut Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva membubarkan Parlimen.

Kebanyakan penunjuk perasaan itu berasal dari kawasan berpenduduk miskin di utara Thailand.

Mereka yang tiba dengan menggunakan jalan darat dan sungai sejak semalam berterusan memenuhi dataran bersejarah di sini sambil mengibar bendera merah.

Kehadiran kali ini jauh lebih kecil berbanding sejuta orang yang diramalkan sebelum ini tetapi lebih besar berbanding kurang 80,000 orang seperti yang dijangka pihak polis.

Kumpulan Baju Merah memberi amaran kepada kerajaan Thai yang didakwa mereka berat sebelah dan cuma mementingkan golongan elit supaya meletak jawatan dalam masa 24 jam atau berdepan dengan bantahan lebih besar.

"Kita akan bergerak untuk mendengar jawapan kerajaan di pangkalan Unit Infantri ke-11," kata Ketua Baju Merah, Natthawut Saikuar.

Katanya, kebanyakan penunjuk perasaan akan bergerak dengan menaiki kereta atau berjalan kaki pada pukul 9 pagi waktu tempatan untuk menuju ke beberapa berek tentera di utara pinggir bandar Bangkok.

Setakat ini, pihak berkuasa menguatkuasa undang-undang keselamatan ketat termasuk kebenaran mengerah anggota tentera, melarang perhimpunan dan melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang tunjuk perasaan itu.

Pihak berkuasa turut mengarahkan pasukan keselamatan yang dianggotai 50,000 anggota mengawal ibu negara dan kawasan-kawasan berhampiran.

Abhisit menolak tuntutan supaya beliau meletak jawatan.

"Saya berhak menamatkan penggal saya," katanya seeprti dilaporkan agensi berita AFP.

Abhisit memiliki tempoh hingga Disember 2011 bagi mengadakan pilihan raya baru di Thailand.

Pada masa yang sama, Kedutaan Malaysia di Thailand ketika dihubungi Kosmo! menasihatkan rakyat Malaysia di Thailand supaya tidak berada di beberapa 'kawasan panas' di Bangkok yang menjadi tempat perhimpunan besar-besaran.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaacob berkata, rakyat Malaysia yang berada di Thailand perlu mengikuti perkembangan semasa serta berhubung terus dengan pihak kedutaan bagi memastikan tidak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: