
LONDON - Walaupun dilabel seorang playboy, Ketua Pegawai Ekekutif (CEO) Perlumbaan Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone mengakui dia masih menyayangi bekas isterinya, Slavica Radic, lapor akhbar Mail On Sunday semalam.
Ecclestone menyatakan dia memberikan AS$1 bilion (RM3.3 bilion) kepada wanita itu yang pernah menjadi isterinya selama 24 tahun.
"Saya benar-benar berharap kami akan dapat kembali bersama seperti dahulu," katanya.
Menurutnya, wang AS$1 bilion itu merupakan jaminan masa depan Radic yang 28 tahun lebih muda dan jauh lebih tinggi daripadanya.
Wang yang diberikan oleh Ecclestone, 79, itu merupakan hasil penjualan hak komersial F1 miliknya kepada sebuah firma pelaburan, CVC Capital Partners yang bermula empat tahun lalu.
"Ia (wang itu) diberikan kepada Radic. Dia menyimpannya dalam bentuk tabung amanah. Saya tidak memiliki apa-apa hak ke atasnya," kata CEO itu yang kini menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita berusia 30 tahun.
Pada temu ramah itu, Ecclestone yang dianggarkan memiliki kekayaan AS$2.27 bilion (RM7.5 bilion) mendedahkan dia tidak mempunyai sebarang cita-cita semasa meninggalkan persekolahan semasa berumur 16 tahun.
"Apa yang saya mahu pada masa itu ialah meninggalkan alam persekolahan. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang ahli perniagaan," katanya yang merupakan anak seorang nelayan.
Dia kemudian menjadi penjual motosikal dan kereta.
Cita-citanya untuk menjadi pelumba kereta berkecai selepas dia terlibat dalam satu kemalangan.
Selepas itu, dia memujuk beberapa pasukan lumba kereta menjadikannya wakil rundingan hak komersial dan akhirnya mengendalikan perlumbaan kereta F1.
Sementara itu, Ecclestone yakin juara F1 tujuh kali, Michael Schumacher akan mengungguli kejuaraan F1 kali ini walaupun berdepan saingan sengit dengan empat nama besar sukan itu, terutamanya daripada Jenson Button dan Lewis Hamilton.
"Tidak perlu susah-susah mengira jumlah kemenangan sepanjang perlumbaan tahun ini. Saya yakin Schumacher akan menjadi juara F1 sekali lagi," kata Ecclestone.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: