PARIS: Sehari selepas mereka dituduh menjalin hubungan sulit di belakang pasangan masing-masing, akhbar Perancis, L'Express, mendakwa skandal membabitkan Carla Bruni dan Nicolas Sarkozy tidak lebih daripada rekaan semata-mata.
TETAP BAHAGIA...hubungan Carla dan Sarkozy dilaporkan tetap kukuh sejak mereka berkahwin pada Februari 2008.
Sumber berkata, laporan itu mula dimuat naik dalam Twitter sebelum ia merebak dengan pantas di dalam blog dan akhirnya dipetik media antarabangsa.
Namun, media ‘tradisional’ Perancis tidak mengendahkan laporan berkenaan.
Satu blog mengaitkan dakwaan itu dengan akhbar mingguan berpengaruh di Perancis, Journal du Dimanche, memadamkan kenyataannya kemudian.
Istana Elysee pula enggan memberi sebarang komen mengenai dakwaan itu.
Semalam, Sky News menyiarkan temu bual dengan Carla, 42, yang dirakam Jumaat lalu, sebelum gosip mengenai hubungan sulitnya beredar di Internet.
Tanpa disoal secara langsung, Carla berkata, dia yakin Sarkozy, 55, tidak akan berlaku curang terhadapnya.
Carla juga menganggap hubungan cintanya dengan Presiden Perancis itu seperti ‘kisah pari-pari’ dan Sarkozy tidak pernah mengalami saat lebih gembira daripada itu.
“Adakah anda pernah melihat gambarnya menjalin hubungan dengan wanita lain?” katanya.
Ditanya jika dia yakin rumah tangga itu akan kekal, Carla termenung seketika sebelum berkata: “Saya rasa perkahwinan sepatutnya kekal selama-lamanya, tapi, siapa tahu apa akan berlaku nanti. Saya harap ia kekal, tapi kita mungkin mati esok.” Carla juga mengaku amat bertuah kerana jatuh cinta pada usia 40 tahun dan ‘bertemu dengan seseorang yang boleh dikahwini’.
Mengenai tumpuan diberi orang ramai terhadapnya, Carla berkata, 99 peratus daripada apa yang diperkatakan adalah tidak benar.
Sarkozy dijadual tiba di Britain untuk lawatan hari ini tanpa isterinya.
Keadaan itu menguatkan khabar angin bahawa hubungan mereka kini dingin.
Carla tidak menemani Sarkozy kerana ia adalah lawatan kerja dan bukan majlis ramsi negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: