Saturday, March 6, 2010

Idlan, Alex & Kecik finalis


BERTARUNG. (Dari kiri), Idlan, Alex dan dua anggota kumpulan Kecik, Achoe dan Wan memiliki peluang untuk bergelar juara Raja Lawak musim keempat.


PERASAAN meninggalkan gelanggang Raja Lawak musim keempat pantas terdetik dalam diri duo menggelarkan diri sebagai Mamu apabila meraih undian tercorot sebelum memulakan persembahan dengan tiga peserta lain pada pusingan separuh akhir minggu lalu.

Mamu yang dianggotai Wan Azrul Azizan, 24, (Ajo) dan Abu Musarrif Abu Bakar, 21, (Abu) mewakili Pulau Mutiara awal-awal lagi bersedia mengucap selamat tinggal meskipun perit. Hanya selangkah lagi menuju ke pusingan akhir, percaturan mereka terkandas.

Menurut Abu, dia dan Ajo mempersiapkan diri diumum sebagai peserta tersingkir pada minggu kedua akhir yang mempersembahkan tema Hari Tua Aku dan Lawak Spontan.

"Lepas tengok undian awal, kami tahu kedudukan goyah ini pasti mempengaruhi keputusan akhir. Undian awal selalunya tidak banyak beza. Oleh itu, kami redha dengan apa saja situasi bakal berlaku kepada Mamu.

"Seperti jangkaan, kami dapat undi terendah iaitu 19.8 sekali gus mematikan hasrat Mamu untuk bertanding di peringkat akhir 7 Mac ini," katanya ketika ditemui selepas program itu berakhir di Studio Astro, Bukit Jali, Kuala Lumpur Ahad lalu.

Ajo yang merupakan guru sandaran dilihat tidak mampu menzahirkan riak kecewa saat Mamu diumumkan Afdlin sebagai peserta terkeluar pada malam itu. Lain pula dengan Abu. Dia kelihatan selamba sambil bibirnya tidak henti melayang senyuman.

Rupa-rupanya, kedukaan Abu tidak diluah sementelah dia cuba menutup setiap emosi agar tidak ditonton secara percuma oleh penonton.

"Siapa yang tidak sedih dengan keputusan ini, tetapi saya berusaha menyembunyikan perasaan ini. Tidak seronok kalau keluarga, sahabat handai dan para penyokong tengok kami menangis secara langsung di kaca televisyen," jelasnya sempat tertawa kecil.

Enggan terus menangisi nasib, mereka berazam meneruskan gandingan biarpun selepas tamat persaingan Raja Lawak 4. Begitupun, Ajo dan Abu tetap berserah kepada rezeki masing-masing jika ada di antara mereka mendapat tawaran secara solo dalam dunia seni.

Khabarnya, mereka sudah menerima pelawaan melibatkan diri dengan rumah produksi Afdlin selain mendapat undangan daripada Astro sendiri.

"Kami mahu jadikan penyertaan menerusi program ini sebagai platform berkongsi pengalaman dalam bidang hiburan," kata Ajo manakala Abu nekad menyambung pengajian yang tertangguh dalam semester keempat Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Lakonan Pengarahan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang tidak lama lagi.

Peserta yang bersaing pada peringkat akhir ialah wakil Sabah, Alexander Ahat, 28, (Alex); Khairul Idlan Abdul Razak, 21, (Idlan) dari Kedah dan berkumpulan Kecik iaitu Mohd. Ilham Rusdy, 19, (Achoe) dan Safuan Madeaming, 20, (Wan) dari Sabah.

Juara Raja Lawak 4 akan membawa pulang sebuah kereta Naza Sorento, wang tunai RM14,000, barangan elektrik seperti set teater rumah dan peti sejuk serta trofi sumbangan Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: