
GADIS bernama Cinta Laura Kiehl boleh dikira sangat bertuah. Dia masih muda, baru berusia 17 tahun. Dilahirkan dalam keluarga yang hidup serba mewah serta memiliki bakat seni lakonan, tarian dan nyanyian.
Darah campuran Indonesia sebelah ibu dan Jerman sebelah bapa yang dimilikinya, menjadikan gadis ini unik. Malah, dek segala kelebihan itu, tidak sukar baginya untuk memukau industri hiburan Indonesia dalam masa yang singkat.
Bermula dari sekadar mencuba dalam bidang peragaan dan menjadi finalis pertandingan Top Model pada tahun 2006, dunia Cinta mula berubah. Kehadirannya dalam pertandingan itu cukup menarik perhatian Sanjay Maulani, seorang pengarah uji bakat di MD Entertainment dan terus ditawarkan watak dalam sinetron popular berjudul Cinderella.
Cinta yang ditemubual Kosmo! menerusi telefon baru-baru ini memberitahu, dunia seni memberi seribu pengalaman buat dirinya. Dia juga tidak pernah rasa terbeban dengan populariti yang diraih meskipun usianya masih terlalu mentah.
"Saya tidak rasa terbeban langsung. Saya menikmati apa yang saya peroleh dengan lapang hati. Sokongan yang saya terima membuatkan saya ingin menjadi seorang insan seni yang lebih baik," ujarnya.
Walaupun masih hijau sebagai pendatang baru dunia seni, pada tahun 2007, Cinta telah meraih anugerah SCTV Awards dengan kategori Aktres Ngetop, sekali gus mengalahkan pesaingnya yang lebih popular seperti Marshanda, Shireen Sungkar dan Nia Ramadhani.
Sejak itu, Cinta tiba-tiba menjadi artis muda yang penting dan paling banyak diberi perhatian oleh pihak media Indonesia. Seiring dengan perhatian yang diberikan tawaran demi tawaran diperoleh Cinta.
![]() |
| TIDAK berkompromi tentang hak, Cinta tegas memperjuangkannya. |
Pada 2008, dia muncul dengan filem perdananya yang berjudul, Oh Baby. Tidak sahaja berlakon, Cinta turut menyumbangkan suara emasnya ke dalam album runut bunyi filem tersebut.
"Saya suka buat pelbagai perkara. Bila peluang itu sudah berada di depan mata dan saya sendiri yakin, apa lagi sambar sahaja peluang itu. Berlakon dan menyanyi dua perkara yang berbeza tetapi saya seronok melakukannya," tuturnya.
Menariknya tentang Cinta, sungguhpun dia berlakon dalam banyak sinetron tetapi hakikatnya, dia tidak berapa fasih untuk bertutur dalam bahasa ibundanya sendiri kerana dibesarkan di merata tempat kerana mengikut bapanya Michael Kiehl seorang pengurus besar hotel terkemuka dunia.
Slanga pertuturannya menjadikan Cinta berbeza daripada artis remaja Indonesia yang lain.
"Memang susah bagi saya untuk bertutur dalam bahasa Indonesia pada mulanya kerana lebih senang bertutur dalam bahasa Inggeris. Bagi memudahkan kerja lakonan, saya telah dihantar menghadiri kelas bahasa oleh produksi selama beberapa bulan sebelum layak untuk berada di depan kamera.
"Secara jujur, kadang-kala saya sendiri tidak faham apa yang ditulis dalam skrip dan terpaksa meminta bantuan pengarah dan pelakon yang lain. Pertuturan saya juga masih ada slanga yang berbeza dari bahasa Indonesia, tetapi nampaknya peminat sudah boleh menerima keunikan diri saya," ucapnya dalam tawa.
Kontroversi
Diakui Cinta antara artis muda yang tampil dengan imej bersih tetapi itu tidak menjamin dia selamanya kekal dengan imej budak baik.
Mengejutkan, pada Julai 2008 Cinta telah diheret ke mahkamah oleh produksi MD Entertainment atas kesalahan melanggari kontrak. Setelah perbicaraan pada pertengahan Disember 2008, mahkamah memutuskan Cinta bersalah dan harus membayar ganti rugi sebanyak Rp1.716.406.000 (RM628,575) atau melakukan perjanjian yang belum dilaksanakan.
Bagaimanapun, setelah turun naik mahkamah untuk mempertahankan haknya, akhirnya kemenangan berpihak kepada Cinta dan dia tidak perlu membayar satu sen pun kepada pihak produksi MD Entertainment.

Menyifatkan kes mahkamah antara perkara paling sukar pernah berlaku dalam hidupnya, Cinta tidak pernah berputus asa. Malah, hal itu menjadikannya lebih kuat dan lebih berilmu dalam hal-hak yang berkait dalam perundangan.
"Hal itu telah menyedarkan saya yang seorang artis mempunyai hak. Selagi saya percaya saya berada di pihak yang benar saya akan menentang habis-habisan.
"Tetapi hal itu tidak sedikitpun mengganggu kerjaya saya. Saya bersyukur kerana keluarga, teman dan peminat tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada saya sepanjang kes itu berlangsung," luahnya yang pernah berduet dengan Maia menerusi lagu Penghianat Cinta.
Selain kes mahkamah, terbaru, foto Cinta dan seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya sedang bercium telah tersebar dengan meluas di Internet.
Cinta yang disoal perkara itu tenang menjawab: "Itu bukan saya. Fotonya telah diubah dan ada orang sengaja mahu menjatuhkan segala kesalahan kepada saya. Mungkin orang itu cemburu melihat hasil kejayaan saya. Saya tidak kisah, kerana itu memang bukan diri saya. Masakan saya sengaja mahu merosakkan nama baik sendiri."
Tidak berakhir di situ, Cinta juga dilapor media Indonesia sempat bermain cinta dengan dua jejaka terhangat Indonesia iaitu Irwansyah dan Afgan.
Sambil tertawa panjang, Cinta menerangkan dia sememangnya sempat rapat dengan dua jejaka itu tetapi tidaklah sampai jatuh hati kepada mereka.
"Saya mengakui pernah keluar menonton wayang bersama Afgan tetapi bukan berdua sebaliknya bersama teman-teman artis lain, hubungan kami tidak lebih daripada seorang teman baik sahaja.
"Irwansyah pula, dia seorang yang baik. Dia suka saya tetapi saya tidak jatuh hati kepadanya. Sekarang, saya sudah mempunyai teman lelaki dan dia bukan seorang artis," balasnya yang laris sebagai model iklan.
Ekspresi diri
Tidak terhad kepada bakat lakonan, Cinta juga kini bergelar seorang penyanyi dan telah melahirkan sebuah album sulung yang berjudul Cinta Laura di bawah payung Sony Music Indonesia.
Lagu-lagunya seperti Cinta dan Uang pantas meniti di bibir peminat dan albumnya telah terjual sebanyak 200,000 unit seminggu. Satu angka yang cukup sukses buat penyanyi baru sepertinya.
![]() |
| MENGAKUI dirinya seorang peminat Lady Gaga. |
"Ini album pertama pastinya saya agak takut dengan penerimaan peminat tetapi Alhamdulillah orang dengan senang terima kehadiran album ini," katanya yang tiada rencana untuk ke Malaysia.
Meskipun begitu ada khabar angin kurang enak berhubung album sulungnya yang dikatakan mirip seperti Lady Gaga.
Tegas Cinta, sebagai orang baru yang tiada pengalaman merakam album, dia mengikut sahaja apa yang difikir baik oleh syarikat rakamannya.
"Saya ikuti saja tetapi saya gembira dengan hasilnya. Tentang album mirip Lady Gaga itu kebetulan genre lagunya sama seperti saya.
"Lagipun, saya salah seorang peminat Lady Gaga dan dia banyak memberi inspirasi kepada diri saya sendiri. Tetapi saya tiada idola di Indonesia kerana jarang menonton televisyen kerana sibuk," ungkapnya yang kini lebih berminat dengan bidang nyanyian kerana tidak memakan masa yang panjang.
Satu hal yang mengejutkan, sedang nama Cinta berada di puncak, tiba-tiba dia mengumumkan untuk berehat seketika dari dunia seni demi menyambung pelajarannya di Amerika Syarikat.
Masih mempertimbangkan untuk mengambil kursus ekonomi atau psikologi, Cinta memberitahu dia akan meninggalkan Indonesia pada Ogos 2012 demi masa depannya. Perkhabaran itu menyebabkan peminatnya bersedih.
"Sebenarnya dunia seni hanya hobi dan pada saya pelajaran tetap nombor satu. Saya tidak melihat diri saya selama-lamanya sebagai model, penyanyi dan pelakon.
"Oleh itu saya sedia meninggalkan semua demi mengejar cita-cita. Perjalanan saya masih panjang, masa depan tidak boleh diramal, jika ditakdirkan saya kembali ke Indonesia dan masih diterima sebagai selebriti saya okey sahaja," luahnya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: