Tuesday, March 2, 2010

Erra teruja ‘sertai’ Tiger Futbol Starz

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, itulah prinsip yang ingin diketengahkan di dalam rancangan realiti TV bola sepak, Tiger Futbol Starz untuk mencari bakat-bakat dalam sukan bola sepak baru yang bakal disiarkan di saluran Astro Ria.

Rancangan 12 episod untuk musim kedua ini bakal menampilkan selebriti berstatus diva yang juga telah pun bergelar ibu, Erra Fazira, sebagai hos utama rancangan tersebut.

“Saya sebenarnya berasa sedikit terkejut ketika mula ditawarkan untuk menjadi hos rancangan Tiger Futbol Starz ini.

“Tetapi memandangkan sukan bola sepak ini telah melahirkan ramai jaguh yang banyak berjasa kepada negara, maka ia menarik minat saya,” jelas ibu kepada Engku Aleesya ini.

Selebriti terkenal dengan jolokan 'Primadona Melayu Alaf Baru' ini juga menceritakan pengalamannya selama dua minggu bersama 21 kanak-kanak bertuah yang dirasakan paling bermakna buat dirinya.

“Saya sangat mengagumi semangat yang ditunjukkan oleh adik-adik ini, mereka sanggup berjauhan dengan keluarga untuk mengejar impian mereka dalam sukan bola sepak,” katanya.

Penyingkiran memang sudah menjadi lumrah dalam rancangan realiti TV dan Erra akan merasa berat hati setiap kali mengumumkan siapa yang tersingkir kerana berasa mempunyai ikatan yang kuat dengan mereka.

“Ia merupakan cabaran terbesar dalam rancangan ini untuk melihat mereka tersingkir kerana ramai di antara mereka menganggap saya seperti ibu sendiri.

“Reaksi mereka sangat berbeza dengan orang dewasa ketika menghadapi penyingkiran dan kadangkalanya perlu dipujuk terlebih dahulu,” katanya.

Erra juga berharap rancangan ini mampu menjadi pendorong kepada golongan ibu bapa di luar sana agar membiarkan anak-anak mereka mengejar dan merealisasikan impian dalam apa bidang sekalipun.

“Jika anak perempuan saya ingin menjadi pemain bola sepak sekalipun saya akan galakkan, tidak salah bukan,” katanya berseloroh.

Program realiti terbitan Astro yang dibawakan bersama Krafts Food ini bakal memulakan tirainya pada hari ini, setiap Selasa, jam 12 tengah hari, di Astro Ria.

Tiga peserta terbaik yang berjaya mengharungi cabaran yang telah dijadualkan menerusi program Tiger Futbol Starz ini bakal menerima habuan sebanyak RM10,000 setiap seorang dan akan didaftarkan untuk menyertai sekolah sukan berprestij negara iaitu Sekolah Sukan Bandar Penawar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: