|
|
JAM tangan puluhan ribu ringgit bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Tetapi pernahkah anda terpikir bahawa harga seutas barang kemas itu mampu mencecah sehingga AS$25 juta (kira-kira RM80 juta). Itulah harga seutas jam tangan perempuan bertatahkan lebih 200 karat berlian berjenama Chopard yang menjadi jam tangan termahal di dunia.
Jika ada yang beranggapan harganya mungkin berpadanan dengan 700 biji berlian yang disemat pada alat penentu masa itu, bagaimana pula dengan model Supercomplication keluaran Patek Phillipe tanpa permata yang dijual pada harga AS$11 juta (RM38.5juta).
Harga yang tinggi pada seutas jam tangan sebenarnya tidak dipengaruhi oleh hiasan emas atau berlian tetapi ditentukan oleh nilai-nilai estetika tertentu yang memancarkan nilai ekstravaganza.
Ia bukan lagi sekadar alat penunjuk waktu tetapi menjadi lambang keperibadian, status dan kemewahan kepada si pemakai dan peminat yang tahu menghargai kehalusan pembikinannya.
Pemakaian jam tangan bermula selepas era Perang Dunia Pertama menggantikan penggunaan jam poket yang popular suatu ketika dahulu.
Popularitinya menyaksikan kemunculan pelbagai jenama mewah seperti IWC, Breitling, Hublot, Tag Heuer, Omega dan banyak lagi.
Bagi mereka yang mampu memiliki seutas daripadanya ia sudah pasti memberikan kepuasan. Walaupun tidak dipakai, nilai eksklusifnya cukup tinggi untuk dijadikan aset atau pelaburan.
Tetapi apakah faktor yang melonjak harga seutas jam tangan sehingga semahal itu. Dari pandangan mata kasar, fungsinya tidak lebih daripada alat penunjuk masa malah rekaan dan bentuknya juga tidak banyak berbeza dengan yang lain.
Dari mana datangnya harga yang mahal jika tidak pada rupa yang menjadi faktor paling utama. Keindahan reka bentuk dan gaya terhasil daripada sentuhan pereka-pereka jam tangan terhebat di dunia.
Namun begitu, ketaksuban peminat pada jam tangan tidak akan berhenti pada pandangan pertama. Tatapan seterusnya mungkin pada penggunaan logamnya. Jam tangan yang baik bukan sekadar dihasilkan daripada logam berkualiti tinggi tetapi menggunakan logam terbaik seperti emas, titanium dan platinum sebagai jaminan ketahanan.
Bahkan dalam mengejar prestij tertinggi, sebahagian pengeluar jam tangan kini memperkenalkan penggunaan logam-logam baru yang tidak pernah dikenali sebelum ini yang terbukti lebih tahan.
Jenama Ulysse Nardin misalnya menggunakan silicium yang menjamin pergerakan mekanikal di dalam jentera jam lebih tahan lama malah tidak memerlukan pelinciran. Lapisan seramik pula digunakan pada permukaan luar badan untuk perlindungan lebih keras dan lebih kalis berbanding logam.
Selain pemilihan logam-logam terbaik, tempoh penghasilan juga mempengaruhi nilai sesebuah jam. Walaupun tiada had masa tertentu, kebanyakan pengeluar akan lebih berbangga dengan tempoh lama yang diambil untuk mengeluarkan seutas jam.
Proses yang memakan masa berbulan-bulan menggambarkan kehalusan kerja membentuk, memasang, menghias dan menguji semula sebelum ia diserah kepada pemakai.
Kerumitan
Tetapi apalah semua keistimewaan itu tanpa mengambil kira kerumitan isi dalamannya (pergerakan mekanikal). Patek Philippe Grande Complication misalnya antara model mempunyai pergerakan paling kompleks dengan tanda harga AS$800,000.
Jam yang berkualiti bukan sahaja mempunyai sistem pergerakan yang rumit malah mampu menceritakan peralihan masa dengan pelbagai fungsi seperti kronograf, kalendar, fasa bulan, waktu pelbagai zon dengan cantik.
Bagaimanapun, tidak semua pengeluar jam mampu menghasilkan sistem pergerakan mekanikal mereka sendiri. Ada yang menggunakan pergerakan yang dihasilkan oleh pihak kedua dan ada juga yang mengubah suai pergerakan untuk dijadikan lebih kompleks.
Pengeluar-pengeluar jam terbaik seperti Patek Philippe, A. Lange & Sohne, Jaeger-LeCoultre, Wittnauer dan Audemars Piguet adalah antara jenama yang menghasilkan jam dengan sistem pergerakan jam mereka sendiri. Memiliki salah satu daripada jenama itu semestinya satu kebanggaan.
Sehalus mana pun binaan atau setinggi mana harga yang diletakkan, nilai eksotik sesebuah jam itu tidak akan mencecah tahap maksimumnya tanpa penetapan had pengeluaran.
Seperti benda-benda mewah di dunia, nilai eksklusif jam tangan juga bergantung kepada kuantiti pengeluarannya. Semakin terhad bilangan yang dikeluarkan, semakin tinggi harganya. Malah kebanyakan jam edisi terhad habis dijual sebelum sempat dilancarkan.
Untuk nilai paling muktamad, Cacahan Geneva (Seal of Geneva) diberikan kepada jam tangan terbaik yang dihasilkan dengan sistem pergerakan dan dipasang di Geneva, Switzerland. Bukan sekadar Swiss Made, tetapi jam dengan cacahan itu amat sukar diperolehi dan semestinya menjadi penentu masa paling mewah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: