Saturday, March 20, 2010

Adilla, senamrobik, rock dan keroncong


ADILLA kini bergelar jurulatih kecergasan bertauliah.


LAPAN tahun tidak mengeluarkan sebarang album tidak bermakna penyanyi yang terkenal dengan irama keroncong ini bersara dari dunia seni. Malah dalam tempoh yang agak lama itu, Adilla Idris masih aktif dengan aktiviti nyanyian di majlis-majlis makan malam, cuma tiada publisiti sahaja.

Setelah lama menyembunyikan diri daripada media dan para peminat, penyanyi kelahiran Johor Bahru ini tampil membuat kemunculan kembali menerusi album baru berjudul Rock Keroncong.

Ujar Adilla, kehilangannya selama ini bukanlah membawa diri sebaliknya sibuk mengendalikan kursus senamrobik.

"Sudah lapan tahun saya menjadi jurulatih kecergasan bertauliah dan saya sentiasa sibuk mengendalikan kursus senamrobik dengan Kementerian Belia dan Sukan dan agensi-agensi lain.

"Kini saya turut memiliki pusat kecergasan sendiri iaitu Adilla Fitness Studio di Taman Tun Dr. Ismail, Shah Alam khas untuk wanita .

"Namun, kerana rindu pada dunia seni suara dan ada rezeki sedikit, sebab itulah saya rakam album Rock Keroncong ini," ujar Adilla yang pernah menjadi finalis Juara Lagu '94 dan Juara Lagu '96 ketika ditemui baru-baru ini.

Adilla, adik kepada komposer terkenal, Jari, berkata, album ini mengandungi lagu-lagu rock popular yang digubah semula dan disampaikan dalam irama keroncong tapi digubah dan dipersembahkan dalam bentuk yang moden dan segar.

Berbeza dengan album-albumnya yang terdahulu Rock Keroncong menjanjikan kelainan dan pembaharuan.

Percubaan Adilla menggabungkan rock dan keroncong bukan sahaja bertujuan untuk meneruskan nama dan kariernya tetapi juga kerana rasa tanggungjawabnya untuk mengangkat irama sebegini terutamanya di mata remaja sekarang.

"Orang kata keroncong ini muzik orang tua-tua. Dengan adanya album ini, orang muda pun dapat menikmatinya sebab kebanyakan daripadanya adalah lagu rock yang diminati ramai.

"Berdasarkan maklum-balas saya terima menerusi laman Facebook saya, ramai anak muda yang berminat dengan irama keroncong kerana ia adalah irama yang sedap didengar.

"Malah apabila saya membuat persembahan, ramai yang menyanyi bersama saya kerana ia adalah lagu yang memang dikenali ramai," ujar Adilla yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya sejam sehari melayari Facebooknya untuk berinteraksi bersama peminat.

Rock Keroncong menampilkan tujuh buah lagu. Lima daripadanya adalah hits era 80 an dan 90 an yang pernah menggegarkan industri muzik suatu masa dahulu dan masih lagi diminati ramai.

Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini ialah Fantasia Bulan Madu, Permaidani, Srikandi Cintaku, Bukan Aku Tak Cinta dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Dua lagu baru turut diselitkan bersama dalam album yang berharga RM21.90 itu iaitu Permata Hati dan Adilla Samba yang lagunya digubah oleh Jari dan liriknya oleh Adilla sendiri.

Tambah Adilla, albumnya itu boleh diperolehi menerusi laman Facebooknya iaitu Adilla Idris serta laman Facebook Cherry Talent Fan Club atau menerusi http://cherrytalent.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: