|
|
BERGAYA sambil beramal dengan membantu golongan yang ditimpa bencana. Inisiatif tersebut cuba dihidupkan melalui kolaborasi antara jenama tersohor, Timberland Company bersama Yayasan Yele Haiti Wyclef Jean, yang berusaha menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi Haiti.
Justeru dua entiti tersebut baru-baru melancarkan koleksi terbaru baju T Earthkeepres Yele Haiti bagi mengumpul dana bantuan kepada negara itu yang pada 7 Januari lalu digegarkan dengan gempa berukuran 7.0 mengikut skala Richter.
Pengarah Timberland Asia Tenggara, Chrislyn Pillai berkata, pada awalnya koleksi tersebut direka dan diedarkan untuk sumbangan kepada dana pemuliharaan hutan Haiti.
Bagaimanapun, ledakan gempa bumi yang meragut lebih 230,000 nyawa itu telah mendorong Timberland dan Yele Haiti mengalihkan sasaran mereka.
"Memang tujuan asal untuk menyokong inisiatif pemuliharaan hutan di Haiti, tetapi kini ada keperluan lain lebih mendesak yang memerlukan sokongan sepenuhnya daripada masyarakat dunia," katanya.
Menurutnya, keutamaan sekarang adalah untuk mengembalikan kualiti hidup rakyat Haiti yang sedang menderita.
Atas sebab itu, Timberland menyumbangkan sepenuhnya berbanding rancangan asal AS$1 (RM3.50) bagi setiap helai jualan baju T tersebut.
"Saya percaya setiap daripada kita boleh memainkan peranan untuk membantu negara tersebut. Kita mungkin tidak mampu berada di tempat kejadian untuk membantu secara fizikal, tetapi sedikit sumbangan kita memberi makna besar kepada mereka," katanya.
Didatangkan dalam empat rekaan berbeza, baju T tersebut direka sejak tahun lalu lagi oleh artis dari Pusat Seni FOSAJ di Jacmel, Haiti, yang mungkin turut musnah dalam gempa bumi tersebut.
Setiap helai boleh diperoleh pada harga RM129 di mana kesemua hasil jualan akan disalurkan kepada dana bantuan.
Sebagai tambahan, Timberland juga akan menyalurkan sebanyak AS$2 (RM 7) bagi setiap jualan but Earthkeepers Yele Haiti.
Dana tersebut akan digunakan bagi membeli barang-barang keperluan harian seperti air bersih dan makanan seperti beras, kacang, daging dalam tin dan minyak.
Ia juga akan digunakan bagi membeli ubat-ubatan di samping khemah sementara, selimut dan pakaian.
Koleksi Earthkeepers Yele Haiti juga merupakan perkongsian terbaru antara Timberland dengan Wyclef Jean, ahli muzik yang pernah menerima anugerah Grammy di samping duta kemanusiaan bagi Haiti.
Koleksi Earthkeeper Yele Haiti kini boleh diperoleh di semua kedai Timberland di seluruh negara sehingga Mei ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: