
JEJAKA berstatus bujang ini mendakwa tidak berasa tertekan dengan topik sasaran mendirikan berumah tangga. Sebaliknya, buat masa ini dia lebih banyak memikirkan tentang kualiti waktunya di tempat kerja dan diri sendiri.
Bagi Mohamad Yasir Mansor, 35, hidupnya perlu dinikmati tanpa perlu terlalu terikat dengan sesuatu perkara. Namun, melihatkan jadual hariannya, Yasir sebenarnya 'terikat' dengan komitmen di belakang tabir glamor dunia penyiaran.
Sebagai penyampai berita TV3 dan juga menyandang jawatan Penerbit Berita dan Penolong Penerbit Luar Negara di stesen penyiaran itu, Yasir tidak menafikan bahawa antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah soal penampilan diri.
Konsep penampilan yang dimaksudkan itu menyeluruh, daripada soal imej dan kesihatan hinggalah kepada pembentukan personaliti serta pembawaan diri.
Maka, lelaki berbintang Virgo itu tidak sesekali lupa untuk mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan dunia kerjaya menuntut empunya diri untuk sentiasa tampil sesempurna mungkin.
"Waktu memang bergerak dengan pantas, lebih terasa lagi apabila saya kini memikul lebih banyak tanggungjawab.
"Bagi mencari keseimbangan dan menjana tenaga dan kesihatan, amalan yang saya praktikkan adalah dengan mendekatkan diri dengan alam semula jadi," katanya ramah.
Cara paling mudah dan berkesan untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja, menurut Yasir, adalah dengan menjadikan alam hijau sebagai teman.
Dibesarkan di Kangar, Perlis, Yasir mengaku sudah terbiasa dengan semangat hutan rimba.
Meskipun kini mencari rezeki di hutan konkrit Kuala Lumpur, naluri untuk kembali ke persekitaran sebegitu masih menebal.
Maka, apabila mempunyai sisa waktu yang bebas daripada urusan pejabat, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak melepaskan peluang mendekatkan diri dengan kelasakan aktiviti merentas hutan. Sempat mempromosi kepada pembaca tentang keistimewaan sesi riadah itu, pertemuan Yasir dengan Stailo beralih lokasi, dari kompleks Sri Pentas di Bandar Utama ke Taman Rimba Taman Tun Dr. Ismail.
![]() |
| KELENGKAPAN penjagaan tubuh dan rias diri yang digunakan oleh Yasir. |
"Minat masuk hutan mungkin sudah biasa dalam diri saya kerana waktu kecil keluarga saya gemar ke dusun. Di sana, kami sekeluarga akan berkelah, mandi air terjun dan sebagainya.
"Mungkin sebab itulah saya terbiasa dengan suasana hutan dan merasakan tempat ini terbaik buat jiwa saya. Lebih bermakna kalau di lokasi tertentu, saya dapat bermalam dalam khemah. Bunyi unggas dan serangga cukup menenangkan jiwa," jelasnya.
Antara lokasi yang pernah dikunjunginya ialah Sungai Congkak, Janda Baik, Air Terjun Kanching dan Taman Rimba Templer.
"Masa menyekat saya untuk bergiat aktif ke hutan rimba yang menarik di negara ini. Jadi disebabkan itu pilihan saya terhad dengan lokasi di sekeliling sahaja," katanya yang bercita-cita untuk meneroka alam hijau Taman Negara.
Terangnya lagi, aktiviti masuk hutan sudah diterima ramai sejak kebelakangan ini dan ia bukan sahaja tertumpu kepada golongan tertentu. Malah, aktiviti itu tidak memerlukan perbelanjaan besar untuk barangan persediaan.
"Mungkin belanja yang dikeluarkan itu tertumpu kepada pilihan kasut yang sesuai dan bermutu tinggi. Oleh kerana trek dalam hutan mempunyai permukaan yang pelbagai, kasut yang baik boleh mengelakkan kecederaan," terangnya seumpama seorang jurulatih sukan lasak.
Tambahnya, aktiviti merentas hutan boleh menyedarkan seseorang tentang tanggungjawab memelihara alam semula jadi. "Sikap seseorang boleh berubah menjadi lebih peka tentang isu hijau dan pencemaran," kata Yasir.
Penjagaan diri
Ketika tubuhnya berkeringat di dalam taman rimba awam itu, tidak bermakna perbualan akan lari daripada topik prinsip gaya dan rias diri. Yasir tidak menafikan, pendedahan yang diterimanya sejak kecil membuatkan dirinya menjadi seorang yang mementingkan kebersihan dan susun atur kemas.
"Fikiran saya akan terganggu sekiranya persekitaran terlalu semak atau berselerak. Bukan sahaja di rumah, malah di tempat kerja," akuinya jujur.
Kalau bukan bercakap tentang persekitarannya, melihatkan karakter jejaka itu sahaja sudah merumuskan bahawa dia memang mementingkan kekemasan.
![]() |
| YASIR berpendapat setiap lelaki harus tahu menjaga penampilan diri. |
Tidak cukup sekadar menghidu aroma minyak wangi yang kekal pada tubuhnya dari pejabat hingga ke hutan itu, Stailo mahu 'membongkar' koleksi penjagaan tubuh milik Yasir.
Tanpa segan, Yasir menjelaskan, bahawa sejak dia di sekolah menengah dia membiasakan dirinya menggunakan pembersih wajah.
"Apa yang membezakannya adalah dulu saya hanya guna pembersih muka tetapi kini saya mengetahui cara penjagaan lengkap dengan menggunakan rangkaian pelembap dan penyegar," terangnya yang antara lain memilih siri penjagaan wajah L'Oreal Men's Expert.
Turut memanjakan tubuhnya dengan produk L'Occitane, Yasir memberitahu, semua itu adalah antara barangan yang wajib ada dalam pek kembaranya.
Haruman yang menjadi pilihannya tidak ketinggalan mahu dikongsi bersama pembaca Stailo. Selain Eternity Calvin Klein, rangkaian jenama hebat seperti Aqva Bulgari dan Armani Code daripada Giorgio Armani juga menjadi kegemaran Yasir.
Menyentuh sedikit mengenai naluri fesyen jejaka itu, dengan pantas dia merendah diri dengan menyatakan bahawa dirinya tidak terlalu obses tentang pemilihan jenama pakaian. Lebih menganggap dirinya seorang yang ringkas ke mana sahaja.
Bagaimanapun, akuinya perkara yang menarik hatinya untuk mengeluarkan belanja ialah koleksi jam tangan.
Sehingga kini dia memiliki sebanyak sepuluh utas jam tangan dengan salah satu daripadanya ialah jenama Guess dengan latar kuning. Jam tersebut dibeli hasil dariapda gaji pertamanya di stesen penyiaran tersebut.
"Saya akan pastikan jam yang saya pakai bersesuaian dengan lokasi atau majlis yang dikunjungi," jelasnya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: