Monday, March 15, 2010

Spa ramuan dapur


BILIK rawatan spa untuk mereka yang datang secara berpasangan.


SAMBUTAN pertama yang diterima sebaik anda masuk ke Swasana Spa, Kuala Lumpur sungguh mengujakan tunas rasa.

Jus asam jawa yang dipercayai baik untuk kesihatan dalaman tubuh menjadi hidangan kepada tetamu Pusat penjagaan kesihatan dan belaian tubuh di tingkat empat Impiana KLCC Hotel & Spa itu.

Bagi memulakan suasana rileks, pengunjung akan diberi pilihan aroma minyak urut yang akan digunakan dalam sesi belaian tubuh. Usai membuat pilihan, barulah tetamu diiring masuk ke dalam bilik rawatan berdasarkan pilihan pakej.

Ahli terapi berpengalaman di spa itu lazimnya memulakan sesi urutan dengan menghilangkan tekanan di bahagian kaki sebelum meneruskan rawatan selanjutnya.

Kaki anda akan direndam dengan air suam manakala digosok dengan garam yang dicampur halia.

Bagi mereka yang kerap merasakan lenguh di kaki, belaian tangan itu memang istimewa. Gosokan itu bukan sekadar ritual membersih, malah dapat merangsang peredaran darah sekali gus menenangkan fikiran.

Terdapat enam pakej rawatan spa iaitu Essence of Spice, Cendana Luxury, Cinnamon Mesra, Asmara Dana, Impian Swasana dan Impiana Indulgence.

Keistimewaan yang ditonjolkan oleh Swasana Spa adalah penggunaan rempah ratus tempatan dan tumbuhan segar sebagai bahan rawatan.

Antara bahan-bahan tersebut ialah bunga cengkih, bunga lawang, tongkat ali dan kulit kayu manis. Sementara itu, untuk rawatan muka pula anda tidak perlu risau untuk mencubanya kerana khasiat dan kesegaran sayuran seperti timun, tomato dan lobak merah bakal diserak ke dalam kulit wajah.

Sambil asyik diurut manja, jangan terlepas peluang untuk mendapatkan serba-sedikit tip rawatan asas daripada ahli terapi yang bertugas. Mereka begitu ramah berkongsi maklumat dan panduan kecantikan untuk dicuba sendiri.

Alunan muzik

Swasana Spa mempunyai dua cawangan lain iaitu di Impiana Phuket Cabana Resort & Spa, dan Impiana Samui Resort & Spa, di Koh Sa Mui.


SEBANYAK lima jenis minyak urut yang mempunyai aroma berbeza.


Meskipun mempunyai dua cawangan di Thailand, Swasana Spa tidak hanya berasaskan kepada rawatan urutan bergaya Siam. Ia juga menyediakan urutan tradisional Bali dan Melayu.

Swasana Spa menawarkan sepuluh bilik rawatan yang bersesuaian dengan setiap pengunjung sama ada mahu lebih privasi atau sebaliknya. Bilik VIP juga disediakan untuk pasangan yang menikmati rawatan bersama.

Lebih menarik, petugas di situ juga kebanyakannya mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan rawatan yang disediakan. Misalnya urutan tradisional Bali, petugas khusus dari negara jiran itu yang akan membelai seluruh tubuh anda.

Sambil diulit alunan muzik, anda akan lena dibuai dengan sapuan minyak yang mampu menghilangkan kepenatan seharian menguruskan tugasan kerja.

Sentuhan urutan tradisional diteruskan sehingga ke bahagian kepala dan bahu. Jari-jemari halus akan mengurut ke seluruh kepala untuk menenangkan fikiran pengunjung.

Bagi mereka yang tidak mahu mencuba pakej dan ingin membuat rawatan sulung seperti urut badan, rawatan badan, muka turut disarankan.

Pada bayaran serendah RM100 anda boleh menikmati rawatan istimewa itu. Pilihan yang diberikan pula ialah lapan jenis urutan tradisional dan rawatan badan.

Rawatan wajah pula mempunyai lima jenis. Harga yang ditawarkan serendah RM180 untuk sejam. Tidak lupa juga rawatan kaki dan tangan pastinya memberi pengalaman yang indah kerana anda dijamu dengan pemandangan kolam renang dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: