
PENGALAMANNYA selama tujuh dekad sebagai penyambut tetamu di Hotel Galle Face, Sri Lanka membuatkan K. Chattu Kuttan dapat bergaul mesra dengan pelbagai golongan.
Antara yang pernah disapa oleh penjaga pintu itu ialah ketua-ketua diraja negeri, gadis dari filem James Bond dan angkasawan Rusia.
Dia yang kini berusia 90 tahun, telah menyaksikan perubahan hotel dan negaranya bermula dari zaman kolonial hingga ke zaman pasca kemerdekaan dan zaman gelap.
Menyingkap kenangan silam, dia hampir menyaksikan segala-galanya termasuk insiden sebuah kapal terbang perang Zero Jepun yang terbabas ketika melakukan pendaratan di perkarangan hotel. Kejadian itu berlaku ketika Perang Dunia Kedua meletus.
Selain itu, bintang filem terkenal Hollywood, Ursula Andress pernah membuat pertunjukan tarian di dewan besar hotel itu ketika sambutan tahun baru pada 1976.
Kuttan yang dilahirkan di wilayah Kerala, India, meninggalkan kampung halamannya dengan menaiki feri menuju ke bandar Talaimannar di pelabuhan utara laut Sri Lanka.
Seterusnya dia menuju ke Colombo pada 1938. Ketika berada di sana, kerjaya pertama Kuttan ialah sebagai pembantu rumah kepada sebuah keluarga kaya.
Pada 1942, Kuttan mula menceburi bidang kerja yang baru iaitu berkhidmat di hotel sebagai seorang pelayan. Dia memerlukan pengalaman selama lima dekad sebelum mendapat kepercayaan ditukarkan ke jawatan di depan pintu itu.
"Ceylon lebih dikenali sebagai Sri Lanka. Ia sebuah bandar yang cukup berbeza. Golongan popular seperti Maharaja Hirohito, Richard Nixon, Sir Laurence Olivier dan George Bernard Shaw pernah tinggal di sini," katanya.
Pada zaman kolonial, lokasi yang menghadap Laut Hindi bersebelahan dengan Gelle Face dijadikan tempat lumba kuda.
"Wanita berkulit putih dan lelaki budiman akan menyaksikan perlumbaan tersebut dari deretan hotel tersebut. Para gadis akan memakai topi dan mengenakan pakaian beropol dan renda," imbas Kuttan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kuttan menggalas tugas sebagai sebahagian daripada kehidupan di Galle Face.
Dengan potongan rambut tersendiri yang dipenuhi uban dan bermisai tebal, dia segak memakai kot butang putih serta mempunyai koleksi pelbagai jenis lencana cenderamata pelbagai negara. Kesemua kombinasi itu merupakan peluang keemasan untuk pelancong merakamkan gambar kenangan dengannya.
Lebih membanggakan, imej dan kehidupannya itu telah menghiasi muka depan beberapa majalah kembara terkenal di dunia.
"Di seluruh dunia, dia mungkin salah seorang daripada pekerja paling lama yang masih berkhidmat di hotel," kata salah seorang pengarah Galle Face, Lalith Rodrigo.
Beliau yang bakal menyambut ulang tahun ke-90 tidak lamai lagi tidak pernah terfikir untuk bersara meskipun perlu bersusah payah ke tempat kerja.
![]() |
| RAMAI pelancong mengambil peluang mendekati Kuttan sama ada untuk berbual ataupun mengambil gambar. |
Setiap hari, Kuttan akan berjalan sejauh 1.6 kilometer (km) dan kemudian mengejar bas untuk memulakan tugas pada sebelah petang.
"Berjalan ke tempat kerja dan kesibukan tugas di hotel menyebabkan saya sentiasa bersemangat," katanya yang mempunyai dua orang anak perempuan, lima orang cucu dan seorang cicit.
Amal makan sayur
Ketika memulakan tugas sebagai seorang pelayan, Kuttan pernah melayan pembesar-pembesar seperti Lord Mountbatten, Puteri Elizabeth, Jawarharlal Nehru, Indira Gandhi dan Arthur C. Clarke.
Jelasnya, sewaktu itu pendapatan bulanan yang diterima hanyalah 20 rupee (RM1.50).
"Sekarang saya menerima gaji sebanyak 30,000 rupee (RM2,200) sebulan sebagai penyambut tetamu di pintu utama," katanya.
Kegemilangan Galle Face mula pudar selepas beberapa dekad. Kebanyakan selebriti kelas A, ahli politik dan tokoh negara lain lebih suka memilih hotel-hotel moden dan mewah di sekitar Colombo.
Meskipun begitu senarionya, hotel bersejarah itu masih menarik seorang pelanggan setia dan pendatang baru. Antaranya ialah angkasawan Rusia, Yuri Gagarin yang memilih untuk menginap di situ dan kemudian mengundang kedatangan tetamu terkenal lain tanpa diduga.
Semua itu benar-benar mewarnai kotak ingatan Kuttan. Dia amat gembira kerana masih bernyawa sekali gus berpeluang menjadi saksi berakhirnya konflik 37 tahun antara etnik Sri Lanka dengan pihak tentera pada Mei tahun lalu.
"Terlalu ramai orang terbunuh. Saya telah melihat terlalu banyak letupan bom selama berada di Colombo. Orang ramai takut untuk bergerak. Malah, para pelancong tidak mahu datang. Saya amat gembira ia berakhir," ungkapnya.
Kuttan yang bukan seorang perokok atau peminum arak mengaku lebih menggemari hidangan sayur-sayuran. Dengan kesihatan yang dikurniakan kepadanya, dia berharap dapat berkunjung ke Kerala pada April ini untuk melawat dua orang kakaknya yang berusia 93 tahun dan 73 tahun.
Kepulangan ke India itu merupakan kali kedua semenjak bertugas di Sri Lanka.
Memiliki tubuh badan yang kelihatan sihat berbanding usianya, Kuttan bergantung kepada cermin mata untuk melihat pada waktu malam.
Bagi mengekalkan kesihatan yang baik dia mengelak mengambil makanan manis dan sentiasa memastikan kandungan paras gulanya pada tahap yang rendah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: