Friday, March 26, 2010

Chelsea tak boleh kalah

PEREBUTAN kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin panas apabila Chelsea merapatkan kedudukan mereka dengan pendahulu, Manchester United apabila hanya ketinggalan satu mata selepas membelasah Portsmouth 5-0, kelmarin.

pix_middle
Kejayaan itu juga membuatkan semangat Chelsea untuk merampas gelaran bertambah membuak sehinggakan bos Chelsea, Carlo Ancelotti memberitahu pemainnya supaya menganggap semua baki perlawanan seperti final.


Skuad Blues akan merangkul dua kejuaraan, EPL dan Piala FA, andai memenangi semua baki perlawanan, tapi segalanya turut bergantung kepada pertemuan penting menentang United di Old Trafford, 3 April depan.


Chelsea juga akan menentang Aston Villa pada separuh akhir Piala FA, seminggu kemudian.


Namun, mereka berpeluang menguji sejauh mana kekuatan Villa apabila menentang pasukan bimbingan Martin O'Neill itu pada perlawanan liga di Stamford Bridge, esok. Perlawanan itu juga penting untuk memastikan Chelsea tidak ketinggalan jauh daripada United dalam aspek mata.


"Kami berada dalam tempoh penting EPL dan Piala FA dan akan bermain mungkin lapan atau sembilan perlawanan sehingga tamat musim. Justeru, kami perlu mengekalkan rentak dan semangat yang ditunjukkan pemain ketika menundukkan Portsmouth.


"Kami perlu bersiap sedia dan menghadapi baki semua perlawanan ibarat final.


"Laluan kami pastinya tidak mudah, tapi yang penting kekal bersaing merebut kejuaraan EPL," kata Ancelotti.


Villa pula terikat 1-1 dengan Sunderland di Villa Park, kelmarin, sekali gus menjejaskan peluang mereka dalam perebutan tempat keempat.


Penyerang Villa, John Carew menjaringkan gol ke-14 buatnya musim ini bagi memadam kelebihan jaringan penggempur Sunderland, Fraizer Campbell.


Kekalahan Manchester City kepada Everton melegakan anak buah O'Neill tapi mereka kini ketinggalan empat mata di belakang Tottenham Hotspur.


Di sebalik turut gagal memungut mata penuh apabila seri 2-2 dengan Wolverhampton Wanderers hujung minggu lalu, O'Neill berpendapat, peluang menduduki tangga keempat yang menjanjikan tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah masih terbuka.


"Kami gagal mendapatkan jaringan kedua ketika menentang Sunderland dan kegagalan itu amat mengecewakan kami. Namun, keputusan perlawanan City membuatkan kami masih berpeluang.


"Tottenham pasti gembira kerana kami dan City gagal mengutip mata penuh, tapi kami menghadapi jadual perlawanan yang sukar selepas ini. Persaingan merebut tempat keempat pasti sengit sehingga penghujung musim," katanya.


Villa kini mengumpul 51 mata menduduki tangga ketujuh, jauh di belakang Chelsea yang memungut 68 mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: