Friday, March 26, 2010

Sebaris supermodel antarabangsa

KETIKA bertemu dengan peragawati terkenal ini di sebuah kondominium mewah di Kelana Jaya, dia santai bergaya.

pix_middle
Hanya menyarung jaket dan jeans potongan skinny dan solekan nipis sudah cukup menyerlahkan aura pemilik nama Tengku Norazura Tengku Awang, 35.

Dia boleh dianggap sebagai ikon fesyen. Sarunglah apa saja, daripada busana berjenama atau tidak, gayanya tetap menyerlah, lenggok tubuhnya ketika melangkah mencipta kekaguman sesiapa saja.

Karakter serta wajah 'sombongnya' di pentas peragaan sentiasa dinanti-nantikan penonton. Siapa sangka daripada gadis sunti berambut keriting, kurus kering dan berkulit sawo matang kini Azura bukan saja menjadi rebutan pereka fesyen tempatan malah antarabangsa.


"Sejak kecil hingga remaja, saya tidak pernah bercita-cita menjadi model. Meskipun ramai beranggapan personaliti yang saya miliki memenuhi ciri seorang model, saya tidak pula berasa cantik.

"Saya mempunyai rambut keriting, tinggi lampai dan berbadan kurus. Apabila bersama kawan, saya kelihatan ganjil," terang anak sulung daripada dua beradik ini.

Menyingkap pembabitan awal dalam bidang peragaan, menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Keramat, Kuala Lumpur ini, sebelum menjadi peragawati dia terlebih dulu bekerja di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Selepas waktu kerja saya gemar berjalan-jalan di Lot 10. Satu hari saya disapa seorang kakitangan Cilla & Associates. Sambil menghulurkan kad perniagaannya, dia bertanyakan sama ada saya berminat menjadi peragawati.

"Saya hanya tersenyum tanpa memberikan sebarang jawapan kerana bimbang jika orang itu terbabit dengan sindiket penipuan," imbas Azura yang akhirnya bersetuju selepas menyelidik latar belakang agensi berkenaan terlebih dulu.


Namun, ibu bapanya menentang keras hasrat Azura bergelar peragawati kerana bimbang dengan arus sosial dan dia tidak dapat mengawal diri.

"Berkali-kali saya yakinkan mereka, akhirnya setelah berjanji tidak akan melakukan perkara yang boleh memalukan keluarga, ibu bapa bersetuju. Tambah pula apabila melihat masyarakat menerima saya sebagai model," katanya.

Namun, bergelar peragawati bukanlah semudah disangka. Keluar rumah jam lapan pagi dan pulang ada kalanya ke pagi jika pertunjukan pentas pada malamnya.

"Hanya Tuhan yang tahu peritnya berlatih berjalan. Penat bukan kerana dimarah, tetapi saya tidak selesa berjalan dengan kasut tumit tinggi kerana sebelum ini saya tidak pernah memakainya," jelas Azura yang pertama kali memperagakan himpunan pakaian Bill Keith dan menerima bayaran RM60.

Jika tiada latihan pada sebelah petang, Azura menjenguk anak di rumah. Kemudian dia datang semula untuk bersolek dan berdandan.

"Memang memenatkan, tetapi mengenangkan rezeki ini untuk keluarga, saya kuatkan semangat. Sebab itu, setiap kali tamat pertunjukan saya terus pulang ke rumah tanpa menyertai parti," katanya yang cukup dikenali dengan potongan rambut pendek pada awal kemunculannya.

Menyelami hati model setinggi 178 sentimeter ini sangat menyenangkan. Baris kata-katanya begitu tersusun, terlalu banyak cerita yang mahu dikongsinya.

Melihat luaran pasti ada beranggapan dia hebat, dikelilingi kemewahan serta kecantikan sebagai aset.

"Saya sama seperti insan lain. Bekerja mencari rezeki untuk keluarga dan anak. Alhamdulillah saya berbangga dengan apa yang saya peroleh sekarang.

"Saya tidak mewah tapi sederhana, yang penting dilimpahi kasih sayang bersama keluarga dan anak-anak," katanya dalam nada merendah diri.

Melihat kehebatannya beraksi di pentas peragaan, wanita anggun ini pernah dilantik sebagai model rasmi untuk jenama Christian Dior, Asia Pasifik pada 2000.

Katanya, pengalaman menjadi duta Christian Dior adalah detik manis sepanjang 18 tahun bergelar model. Malah dia menjadi pilihan pereka ternama John Galliano yang mengetengahkannya sebagai wajah Dior Asia.

Lebih awal daripada itu, Azura sudah duduk sebaris dengan supermodel antarabangsa seperti Naomi Campbell, Virginie Ledoyen serta Leelee Sobieski dalam satu pertunjukan koleksi pre-a porter daripada Dior di Chaillot, sebuah muzium di Paris.

"Saya teruja membawa nama Malaysia ke luar negara. Namun peluang itu bukan tiket untuk membanggakan diri.

"Sebaliknya saya berusaha mempamerkan yang terbaik, bagi membuktikan kita setaraf dengan model antarabangsa," jelasnya yang pernah menerima pingat emas Model Kejohanan Seni Persembahan Sedunia (WCPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), anugerah Model Terbaik Tahun 2003 dan Anugerah Stylo Festival Fesyen KL 2008.

Namun, di sebalik kegembiraan bercerita mengenai kerjaya, hatinya bagai tersentuh apabila berkongsi cerita mengenai anak-anak. Malah ditanya mengenai rumah tangga, Azura mengelak untuk memperkatakannya.

"Biarlah semuanya saya simpan. Saya tidak mahu berkongsi rahsia peribadi dengan peminat. Cukuplah hanya saya dan keluarga yang tahu," katanya.

Daripada riak wajahnya membayangkan kekecewaan, namun Azura tidak pula serik untuk menerima cinta baru dalam hidupnya.

Cuma pada ketika ini, biarlah dia menyusuri kebahagiaan bersama dua anak kesayangannya, Adam Mustakim, 15 dan Ilyas Ammar, 8, permata hati serta pelindung yang menjadi pendorongnya selama ini.

"Merekalah semangat saya, buah hati pengarang jantung saya dan segala apa yang saya lakukan hanyalah untuk mereka berdua," katanya.

Sebagai ibu dan bapa, Azura perlu memiliki kekuatan dan semangat untuk membesarkan anak. Jika dia sendiri lemah bagaimana dia mahu membimbing mereka untuk menempuh kehidupan yang lebih mencabar pada masa akan datang?

Justeru dia sangat mementingkan pendidikan, kerana dengannya saja menjadikan mereka insan mulia.

"Anak sulung sejak kecil saya hantar di sekolah antarabangsa. Selepas ini saya mahu dia melengkapkan diri dengan ilmu agama di sekolah pondok di Kelantan. Saya mahu anak saya mendapat pendidikan seimbang dunia dan akhirat.

"Saya mahu memberikan yang terbaik buat mereka. Dengan pelbagai gejala sosial sekarang, saya bimbang masa depan mereka. Sekurang-kurangnya pendidikan agama mampu menghalang mereka melakukan perkara yang boleh merosakkan nama keluarga," kata Azura bersungguh-sungguh.

Pada zaman kegemilangannya dia pernah ditawarkan ke New York dan Paris untuk mencipta nama di sana. Tetapi Azura lebih mencintai tanah air sendiri serta tidak sanggup meninggalkan anak-anak.

Dalam nada penuh yakin, Azura berharap dia dapat melakukan sesuatu dalam bidang peragaan amnya yang dilihat semakin mundur serta tiada apa yang boleh dibanggakan. Peragawati datang dan pergi silih berganti, namun aura yang diperlukan untuk bergelar model tidak ada.

"Model bukan setakat cantik dan tinggi, paling penting memiliki karakter tersendiri dan itulah membezakan antara satu sama lain," katanya.

Hasrat Azura tahun ini mahu membuka agensi peragaan dan memberi tumpuan kepada cara berjalan. Dia juga sedang membuat kertas kerja bagi menerbitkan rancangan realiti berkonsepkan America's Next Top Model.

"Insya-Allah jika segalanya berjalan lancar dan mendapat tajaan, rancangan ini akan diterbitkan nanti. Saya tidak mahu bakat yang terus ada hilang begitu saja.

"Malaysia mempunyai ramai model berbakat, namun jika bakat ini tidak digilap lama kelamaan ia akan tenggelam. Model pula jangan 'syok sendiri' sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh mencapai apa yang mereka mahukan," katanya yang sangat mengagumi seniwati terkenal, Noorkumalasari.

Bagi peminat yang ingin berkongsi pendapat atau mendapatkan tip menjadi peragawati berjaya boleh menghubungi Azura menerusi laman sosial www.facebook/tengkuazura.

Azura juga akan berlepas ke Washington, AS, pada 7 April ini bersama 12 model lain di bawah tajaan Kementerian Pelancongan dan akan menggayakan pakaian koleksi Kraftangan Malaysia di hadapan Presiden AS, Barack Obama.

Profil
NAMA: Tengku Norazura Tengku Awang
TARIKH LAHIR: 9 Disember 1975
ASAL: Keramat, Kuala Lumpur
TINGGI: 178 sentimeter
BERAT: 52 kilogram
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada dua beradik
STATUS: Ibu tunggal dua orang anak, Adam Mustakim,15, dan Ilyas Ammar,8
PENCAPAIAN:

  • Pingat emas Model Kejohanan Seni Persembahan Sedunia di Los Angeles, Amerika Syarikat
  • Model Terbaik 2003
  • Anugerah Stylo Festival Fesyen KL 2008.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: