Monday, March 1, 2010

Berniaga isi kekosongan


Kerja-kerja di butik pengantin dan salon turut dibantu oleh abangnya Megat Mohd. Hafiyzun Hamzah (kanan).


SHARIFAH Hafeyzah Hamzah tidak pernah menyesal berhenti kerja semata-mata kerana ingin memulakan perniagaan sendiri dek kerana minat yang begitu mendalam terutamanya yang menjurus kepada bidang kecantikan.

Walaupun telah memegang jawatan sebagai pegawai di bahagian bebas cukai di Airport Malaysia, Sharifah Hafeyzah atau lebih mesra dengan panggilan Effa berasa seakan-akan ada kekosongan dalam jiwanya.

Lantas anak bongsu daripada empat beradik ini menguatkan tekad dan mengambil keputusan berhenti kerja pada tahun 2004.

Dia kemudian secara sambilan menggunakan kemahiran yang ada dengan mengambil tempahan menyolek pengantin, mereka yang hendak bertunang dan kawan-kawan yang akan menghadiri majlis.

Empat tahun kemudian, apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan apabila dia membuka pusat kecantikan dan butik pengantin yang dinamakan E'Unique Beauty House.

Memilih lokasi di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, gadis berusia 28 tahun ini tidak gentar dengan saingan mahupun keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan.

''Bagi saya, jika kita tidak yakin dan takut dengan saingan atau keadaan semasa, kita tidak akan ke mana-mana. Untuk memajukan perniagaan, saya tidak hanya menunggu pelanggan datang ke salon tetapi juga harus rajin keluar membuat promosi bagi memperkenalkan salon kepada orang luar.

''Selain itu, saya akan pastikan pelanggan yang datang ke salon mendapat layanan sebaik mungkin agar mereka gembira dan berpuas hati dengan layanan yang diberikan. Dengan itu, mereka akan datang semula dan akan memberitahu pula kepada kawan-kawan lain.

''Hendak menjadi usahawan perlu ada ilmu kerana jika timbul masalah seperti masalah kewangan, kita ada cara bagi menyelesaikannya,'' ujar Effa yang membuka pusat kecantikannya dari pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam.

Bermodalkan sebanyak RM180,000, Effa menjadikan salonnya sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti rawatan muka, lulur, mandian, rawatan rambut bermasalah, salon rambut dan sebagainya.

Semua rawatan yang diperlukan dari hujung kaki hingga ke hujung rambut boleh diperoleh di sini.

Kata Effa yang banyak dibantu oleh abangnya, Megat Mohd Hafiyzun, salon rambutnya adalah untuk pelanggan lelaki dan wanita sementara spa adalah khusus untuk wanita sahaja kecuali rawatan muka yang dibolehkan untuk lelaki.

Selain itu, dia menyediakan sebuah butik pengantin yang lengkap dengan beberapa pakej perkahwinan bagi kemudahan pasangan bakal pengantin.

Segala-galanya ada dalam pakej tersebut daripada pakaian untuk nikah dan pakaian bersanding untuk lelaki dan perempuan, pakaian persalinan, solekan, pelamin, aksesori, bunga tangan dan pakej rawatan spa.

''Saya menggunakan kain renda Perancis bagi baju pengantin perempuan kerana kain ini nampak mewah dan cantik. Bagi nampak lebih eksklusif, manik dijahitkan pada hujung lengan, depan baju dan bawah baju.

''Walaupun baju ini nampak berat dengan manik-manik namun ia cantik dan nampak langsing pada wanita yang berbadan besar.

"Wanita yang berbadan besar tidak cantik dengan baju yang ringan kerana tidak menampakkan bentuk tubuh.

" Saya turut menyediakan korset yang selesa dengan tetulang yang disusun cantik dan dijahit oleh tukang jahit yang pakar membuat korset,'' kata Effa yang turut menerima tempahan daripada pelanggan yang mempunyai rekaan sendiri.

Katanya, kesemua pakej yang disediakan adalah bagi memudahkan bakal raja dan ratu sehari.

Semuanya telah disediakan daripada A hingga Z dan mereka tidak perlu lagi mencari atau menambah yang lain.

"Sebenarnya mengambil pakej ini lebih menjimatkan wang dan masa. Lagi pun harga bagi setiap pakej yang saya sediakan ini amat berpatutan,'' ujar Effa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: