KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mendakwa terpaksa menanggung hutang lebih RM10 juta akibat diperangkap seorang ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri yang menggunakan nama mereka sebagai pengarah lebih 100 syarikat ketika membuat pinjaman daripada institusi kewangan.
Malah, pasangan terbabit kini buntu apabila kemungkinan diisytihar muflis jika gagal melunaskan wang kononnya dipinjam mereka.
Lebih malang apabila mangsa, Zainuddin Yakkop, 31, dan isteri, Salasiah Saidon, 30, mendakwa mereka tidak pernah membuat pinjaman daripada mana-mana instutusi kewangan.
Difahamkan, pasangan terbabit hanya menyedari mengenai pinjaman itu selepas menerima notis pengisytiharan muflis yang dihantar lebih lima bank memaklumkan status mereka.
Tersentak dengan itu, Zainuddin segera berjumpa ahli perniagaan terbabit yang juga majikannya sebelum mengetahui namanya digunakan untuk urusan pinjaman bank membabitkan lebih 100 anak syarikat milik ahli perniagaan itu.
Zainuddin membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Shah Alam, dekat sini, namun pegawai polis bertugas didakwa enggan menerima aduan berkenaan.
|
Difahamkan, laporan polis itu hanya diterima selepas Zainuddin membawa peguam untuk menemaninya.
Menurutnya, dia bekerja sebagai kerani di syarikat milik Tan Sri itu pada 2007 sebelum ditawarkan menjadi ‘pengarah’ sebuah anak syarikat milik ahli perniagaan berkenaan.
“Namun, selepas beberapa bulan berkhidmat, saya mengetahui dia menggunakan nama saya untuk memohon pinjaman bank.
“Perbuatannya itu pun diketahui selepas menerima surat guaman daripada beberapa bank, malah ada antara bank terbabit menyatakan hasrat mendapatkan perintah perisytiharan muflis terhadap saya dan isteri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Lebih menghairankan, kata Zainuddin, walaupun isterinya bukan pekerja syarikat terbabit, namanya masih boleh digunakan Tan Sri itu ketika memohon pinjaman bank.
Dakwanya, sepanjang bekerja dengan Tan Sri terbabit, dia tidak pernah menandatangani sebarang surat permohonan pinjaman.
“Lagipun dengan gaji RM1,500 sebulan, mustahil saya membuat pinjaman mencecah jutaan ringgit. Ini pula pinjaman itu dilakukan untuk lebih 100 anak syarikat...langsung tak masuk akal.
“Apa yang menjadi persoalan sekarang, bagaimana bank boleh meluluskan pinjaman berkenaan walaupun tidak pernah berjumpa atau memiliki tandatangan saya. Jadi kemungkinan besar ada orang dalam bank terbabit yang bersubahat dengan Tan Sri,” dakwanya.
Dia berkata, selepas melakukan siasatan, pihaknya mendapati semua pinjaman itu dilakukan syarikat yang ada antaranya dia tidak tahu menahu mengenai kewujudannya.
“Jadi, bagaimana pinjaman berkenaan boleh diluluskan sesuka hati,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa termasuk Bank Negara tampil membantu dalam melakukan siasatan terperinci mengenai kes penipuan itu.
“Saya dan isteri bersedia mengemukakan bukti selain bekerjasama dengan pihak berkenaan dalam menyelesaikan masalah itu.
“Walaupun agak kecewa kerana pihak berkuasa enggan menerima laporan saya buat kali pertama, saya masih yakin mereka (polis) akan melakukan siasatan dengan lebih telus walaupun ia membabitkan tokoh atau individu terkemuka,” katanya.
Sementara itu, ahli perniagaan terbabit ketika dihubungi menafikan pembabitannya dalam dakwaan dibuat pasangan suami isteri berkenaan dan mendakwa tuduhan itu fitnah semata-mata.
“Mustahil saya menggunakan nama mereka, sebaliknya mungkin ada individu lain terbabit perbuatan itu.
“Lagipun, perkara ini sudah diselesaikan pada 2008 melalui satu deklarasi yang pernah dibuat antara kami berdua yang mengatakan tuduhan itu tidak berasas selain dipengaruhi orang ketiga.
“Saya tak tahu motif Zainuddin dan percaya ada agenda di sebalik dakwaan itu. Malah, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika dia terus memburukkan nama saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: