Saturday, March 20, 2010

Mencari juara Kacak Bergaya


10 daripada 12 finalis Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 tidak sabar menanti 27 mac ini.


RUANGAN Kacak Bergaya di dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia sudah pun berusia 15 tahun. Mula diperkenalkan sejak 1995 (dahulunya dikenali Jejaka Minggu Ini), ia diakui sudah banyak melahirkan ramai selebriti terkenal dalam dunia hiburan tanah air.

Nama-nama seperti Danny X-Factor, Ryzal dan Iqram Dinzly (sekadar menyebut beberapa nama) telah pun mencipta nama mereka sendiri di bawah 'payung' platform ruangan ini.

Kini, Kacak Bergaya bukan hanya sekadar ruangan di suratkhabar semata apabila mula berkembang dengan munculnya penganjuran Pencarian Kacak Bergaya.

Memasuki musim kedua dengan nama Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010, lebih 1,000 penyertaan telah diterima penganjur daripada pembaca yang begitu berminat menyertainya.

Ia menyaksikan pertambahan yang memberangsangkan berbanding kali pertama dianjurkan pada 9 Mei tahun lalu.

Menurut Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud, kebanyakan yang menyertai Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 menyedari bahawa acara itu sudah mampu dijadikan sebagai tapak untuk mereka mengembangkan bakat khususnya dalam bidang seni.

Atas dasar itu, katanya, Pancaindera merasakan adalah wajar program berkenaan diadakan sebagai usaha untuk memeriahkan bidang seni di samping mencungkil bakat-bakat baru yang mampu diketengahkan sebagai seorang selebriti.

"Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 juga memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menyunting mereka bagi mengisi peluang penglibatan dalam apa jua aktiviti seni melalui syarikat produksi masing-masing.

"Sungguhpun begitu, apa yang membanggakan, belum pun peringkat akhir Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 berlangsung, sudah ada beberapa nama yang diintai syarikat produksi tempatan.

"Ini menunjukkan satu perkembangan baik terhadap masa depan mereka yang dilahirkan menerusi program tersebut,'' katanya ketika ditemui di majlis penerimaan hadiah penajaan Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 di Hotel Impiana KLCC, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Mohamed Juhari Shaarani.

IB merupakan antara penaja bagi Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 selain AirAsia dan Aleeza Kasim Modelling Academy.

Penaja-penaja lain adalah Rahman Saif, Noor Arfa Batik, Gedung Al-Habsyee, Ixora Corporation Sdn. Bhd., Szemie Artistic & Gallery, F.A Creative, Clark Hatch Fitness Centre & Life Spa, My Saloon, Ocean Elements, Alken Professional, Mum Bio-Cos dan Zeel Production.

Seperti tahun lalu, kali ini, Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., yang memasarkan produk kesihatan lelaki jenama Vigor bertindak sebagai penaja utama.

Kemuncak acara ini akan diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 27 Mac ini dalam satu majlis minum petang.

Peserta juga akan membuat persembahan bersama kumpulan Capoeira Camara Malaysia selain dihiburkan artis-artis popular antaranya Mila, Hattan, Shazroul dan Dayang Nurfaizah sementara Sharifah Shahira bertindak sebagai pengacara di acara kemuncak itu nanti.

Pemenang akan menerima trofi, wang tunai keseluruhan bernilai RM7,800, pakej penjagaan kesihatan serta tiket penerbangan ke London, Gold Coast, Perth, Colombo dan Bali.

Mereka juga akan ditaja bagi memperoleh lesen menyelam, tawaran berlakon serta beberapa hadiah iringan lain.

Menurut Zin, bagi menjayakan majlis itu, peserta yang dipilih berpeluang menjalani latihan pembentukan imej hasil bimbingan model Aleeza Kassim.

Kesemua mereka, jelasnya, perlu menjalani beberapa sesi ujian antaranya teknik berjalan, gaya, sesi fotografi dan ujian kepantasan minda.

Sementara itu, buat julung kalinya, Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 memperkenalkan Anugerah Pilihan Pembaca apabila pembaca boleh mengundi finalis pilihan mereka dengan membuat undian secara khidmat pesanan ringkas (SMS).

Caranya adalah dengan menaip KACAK NAMA PESERTA dan hantar ke 33995. (Contoh : KACAK AWIE dan hantar ke 33995).

Sepuluh pembaca yang menghantar SMS terbanyak berpeluang diundang sebagai VIP ke acara kemuncak nanti.

Biodata penuh dan gambar 12 finalis boleh diikuti menerusi www.manggaonline.com.my dan aksi mereka ketika menjalani sesi latihan melalui www.utusan.com.my.

Selain johan, tempat kedua dan ketika, anugerah lain yang disediakan adalah Anugerah Pilihan AirAsia dan Anugerah Pilihan Pancaindera.

Bagi pemenang Anugerah Pilihan AirAsia, mereka akan menerima tiket penerbangan ke Colombo manakala Anugerah Pilihan Pancaindera bakal 'mengaut' hadiah berupa trofi tajaan Ocean Elements serta sebuah telefon bimbit jenama Blackberry sumbangan Mum Bio-Cos, pengeluar produk Addam Men Skincare.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: