
DALAM satu ujian ketahanan tunggang kuda yang diadakan pada bulan lalu di Mongolia, lebih daripada dua dozen penunggang kuda bertanding sehingga ke garisan penamat. Garisan penamat yang dimaksudkan itu bukan sekitar lima atau sepuluh kilometer (km) tetapi ia mampu membuatkan penakluk legenda terkenal, Genghis Khan terkesima.
Sekumpulan penunggang kuda bertaraf antarabangsa mengharungi laluan pertandingan sejauh 860 kilometer (km) merentasi padang rumput luas di negara tersebut dalam tempoh sepuluh hari sahaja. Dikenali sebagai Mongol Derby, ia disifatkan sebagai pertandingan tunggangan kuda paling jauh di dunia.
Kesudahannya berakhir dengan kemenangan bersama penunggang yang juga seorang jurutera dari Afrika Selatan, Charles van Wyk, 28, dengan seorang lagi penunggang Mongolia, Shiravsambuu Galbadrakh.
Pertandingan itu turut disertai oleh 10 buah negara termasuklah Argentina, Australia, Britain, New Zealand, Sepanyol dan Amerika Syarikat (AS).
Dianjurkan oleh Adventurists, sebuah organisasi yang berpangkalan di Britain, acara unik itu direka sebagai salah satu cara mempromosikan tradisi dan budaya Mongolia, di samping mengutip dana untuk tujuan kebajikan.
Tukar kuda
Peserta diberi peluang menukar kuda pada setiap 40 kilometer di lokasi yang dipanggil urtuus iaitu stesen-stesen gantian kuda. Strategi itu diadaptasikan sejak zaman kegemilangan Genghis Khan yang menggunakan kuda untuk menghantar mesej ke empayar Mongol, meliputi dari Lautan Pasifik hinggalah ke hujung benua Eropah.
"Kehidupan moden telah mengubah gaya hidup masyarakat, tetapi ini tidak bermakna majoriti penduduk di sini telah berpindah ke bandar," kata Van Wyk kepada AFP.
"Malah, kualiti hidup di sini ternyata lebih baik. Ramai penunggang kuda dari negara asing ingin kembali ke Mongolia."
Kumpulan nomad yang berpakaian tradisional dan tinggal dalam khemah bulat, menjaga setiap stesen perhentian. Mereka juga menyediakan daging kambing rebus dan susu kuda yang ditapai kepada penunggang. Minuman itu cukup popular di negara tersebut. Namun, ada waktunya mereka tidur di kawasan terbuka.
![]() |
| PESERTA Mongol Derby menunggang kuda sejauh 860 kilometer. |
"Ada beberapa kali saya bertanya pada diri sendiri kenapa saya menyertai pertandingan ini, terutama ketika berasa sangat penat. Begitupun, saya akan kembali sedar dan meneruskan perlumbaan," kata Van Wyk.
Budaya
Sebanyak 700 ekor kuda digunakan dalam pertandingan tersebut.
"Setelah berada di Mongolia selama tujuh tahun, kami faham betapa pentingnya kuda terhadap kehidupan seharian dan budaya masyarakat tempatan.
"Tidak ada mana-mana tempat di dunia yang mempunyai sebegitu banyak kuda di kawasan yang luas. Sebab itulah Mongolia merupakan lokasi paling sempurna untuk pertandingan ini," jelas Pengarah The Adventurists, Tom Morgan.
The Adventurists juga menganjurkan pertandingan rali tahunan Mongolia. Biarpun perlumbaan dari London ke Ulan Bator, Mongolia menggunakan kenderaan kecil dan lebih berbahaya, Morgan mengakui dia berdepan pengalaman mendebarkan apabila para penunggang kuda kepenatan.
"Acara ini baru pertama kali diperkenalkan. Maka wujud pelbagai halangan. Namun ia berakhir dengan kejayaan. Terima kasih kepada kerjasama yang baik daripada rangkaian nomad Mongolia yang efektif dan kuda-kuda yang memiliki ketahanan yang luar biasa," tambahnya.
Menariknya ialah para penunggang berjaya menamatkan maraton tanpa sebarang kecederaan serius. Mereka hanya mengalami calar-calar dan luka kecil. Sementara seorang peserta mengalami masalah gegaran minimum.
Mengejutkan
Pencapaian itu nyata mengejutkan jurulatih kuda, Yundenbat Unenburen yang membantu membina urtuss bagi pertandingan tersebut.
"Saya tidak fikir mereka akan mampu menghabiskan separuh pun daripada seluruh laluan pertandingan. Bagaimanapun, apabila semua peserta berjaya melepasi garisan penamat, terbukti ramalan saya salah. Mereka berjaya membuktikan bahawa mereka merupakan penunggang yang paling berani, cekal dan tabah," ujar Unenburen.
Setiap peserta diberi peta khas yang satu ketika dahulu menjadi teman kepada para penunggang kuda. Alat-alat komunikasi terkini tetap menjadi kaedah utama. Misalnya penggunaan telefon bimbit dan piring satelit yang dipasang pada khemah-khemah tertentu.
Sebahagian besar kutipan wang daripada pertandingan itu dihulurkan kepada pertubuhan Mercy yang menyokong bantuan pembangunan golongan miskin di salah sebuah negara yang termiskin di Asia.
Morgan memberitahu, perancangan untuk menganjurkan acara sama pada tahun depan telah dimulakan. Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web www.mongolderby.theadventurists.com dan harus mempunyai pengalaman menunggang kuda serta survival dalam persekitaran yang sukar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: