![]() |
| SARAH Jessica Parker yang menjadi buruan lensa kamera sewaktu penggambaran filem sekuel, Sex and the City di New York. |
SIAPA yang mampu menafikan fenomena yang dicetuskan oleh siri televisyen, Sex and the City (SATC) apabila kali pertama ditayangkan pada tahun 1998.
Siri terbitan HBO itu yang mengisahkan kehidupan empat wanita sofistikated dan moden di bandar raya New York merupakan kisah yang diadaptasi daripada novel karya Candace Bushnell.
Empat pelakon utamanya iaitu Sarah Jessica Parker yang membawakan watak Carrie Bradshaw, Kim Cattrall (Samantha Jones), Cynthia Nixon (Miranda Hobbes) dan Kristin Davis (Charlotte York) telah berjaya menghidupkan siri tersebut dengan lakonan yang cukup mengesankan.
Sehinggakan watak-watak yang dibawakan mereka itu mempunyai peminat dan pengikutnya sendiri selain daripada penampilan serta fesyen yang dibawakan oleh kesemua aktres siri itu.
Begitu besarnya impak yang terhasil menerusi SATC dan fenomena siri ini bukan sahaja berlaku di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia.
Selama enam musim SATC bertahan, siri itu telah berjaya merangkul pelbagai kejayaan. Antaranya ialah tujuh anugerah Emmy termasuk Siri Komedi Terbaik serta Pelakon Wanita Komedi dan Pelakon Pembantu Wanita Komedi Terbaik.
Malah, SATC juga menerima lapan anugerah Golden Globe selain empat untuk anugerah Screen Actors Guild.
Selepas tamatnya siri SATC pada tahun 2004, khabar angin mengatakan versi filem tersebut bertiup sungguh kencang.
Bahkan ketika itu, kesemua pelakon-pelakonnya dan peminat setia SATC juga teruja serta ternanti-nantikan sama ada filem SATC akan dihasilkan.
Penantian selama empat tahun berakhir apabila tahun lalu filem pertama SATC ditayangkan dan seperti juga sirinya, filem tersebut turut meraih kejayaan yang cukup membanggakan.
Filem arahan Michael Patrick King itu berjaya membuat kutipan sebanyak AS$405 juta (RM1.4 billion) di seluruh dunia.
Kejayaan itu juga merangsang pihak penerbit untuk menerbitkan filem keduanya yang kini sedang rancak menjalani penggambaran sekitar New York dan kemungkinan juga di Morocco.
Meskipun plot dan jalan ceritanya masih lagi dirahsiakan, namun ramai yang mengandaikan filem sekuelnya akan menjadi lebih menarik daripada filem yang pertama.
Dengan pelbagai konflik dan kisah yang akan dihadapi oleh keempat-empat wanita yang juga sahabat baik itu, pastinya SATC 2 merupakan filem yang dinanti-nantikan untuk tahun 2010.
Berikut dipaparkan aksi-aksi menarik sewaktu SATC 2 menjalani penggambaran di New York yang telah menimbulkan kekecohan oleh peminat yang mahu melihat barisan aktres filem tersebut dari dekat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: