
SALOMA Bistro yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, merupakan restoran popular yang mempunyai inisiatif yang tinggi dalam usaha menghargai bakat serta sumbangan artis-artis veteran di negara ini.
Sebagai contohnya, kebanyakan ruang dinding di restoran milik Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir itu dipenuhi gambar-gambar bintang-bintang legenda tanah air termasuklah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.
Bukan setakat itu sahaja, malah setiap tahun sejak lima tahun lalu Saloma Bistro juga tidak pernah lupa menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Seniman & Seniwati Legenda tempatan di restoran terkemuka tersebut.
Menurut Pengurus Besar Saloma Bistro, Mohd. Yazid Aziz, 49, majlis itu diadakan sebagai salah satu penghargaan mereka buat artis-artis veteran yang pernah memeriahkan dunia lakonan dan nyanyian suatu ketika dulu.
“Sesuai dengan konsep Saloma Bistro yang banyak berlatarbelakangkan suasana dunia hiburan kita pada tahun 1950-an dan 1960-an, maka majlis seperti ini amat bertepatan, apatah lagi lebih elok kita menghargai selagi mereka masih hidup.
“Sambutan pada tahun ini paling meriah berdasarkan kehadiran lebih 50 artis veteran serta lebih 300 jemputan yang lain termasuklah artis-artis baru dan wakil-wakil media massa yang turut memberi sokongan,” katanya kepada Hits.
Antara artis veteran yang hadir pada majlis berbuka puasa itu ialah Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Aziz Sattar, Datuk Yusof Haslam, Datuk Maria Menado, Datuk Yahya Sulong, Mariani, Karim Latif, Mat Sentol dan Wazata Zain.
Selain dijamu hidangan pada majlis berbuka puasa, para artis veteran juga menerima sumbangan duit raya RM300 yang disampaikan sendiri oleh Syed Yusof Syed Nasir pada majlis yang ditaja sepenuhnya oleh Saloma Bistro.
Aimi Jarr yang mewakili artis-artis veteran pada malam itu dalam ucapannya berasa terharu atas inisiatif Saloma Bistro yang tidak putus-putus memberi penghargaan dan sumbangan setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal.
“Inisiatif Saloma Bistro ini haruslah mendapat pujian kerana kalau tidak ada artis-artis lama, maka tidak akan ada juga artis-artis baru. Semoga Allah murahkan rezeki mereka kerana dengan rezeki itulah artis-artis veteran sedikit sebanyak akan terus dihargai,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: