Saturday, September 12, 2009

Serina galak tunang puasa penuh


BERSERI-seri wajah anak dara sunti tukang masak terkenal, Chef Wan yang akan menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihannya kurang lima bulan lagi.

Sepatutnya pasangan sedang bahagia ini meluangkan masa bersama seboleh mungkin, tetapi lain pula bagi Serina Redzuan dan tunangnya, Gavin Edward O'luanaiyah atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 33.

Kekangan masa dan tuntutan kerja menghalang mereka untuk berjumpa dan bersama apatah lagi berbuka puasa selalu.

Kata Serina, jadual waktunya kini terlalu padat dengan rakaman drama bersiri Akademi Polis serta menjadi pengacara sambilan setiap hujung minggu di Ampang Point.

"Setakat puasa ini, saya dan tunang baru sekali saja berpeluang berbuka bersama.

"Bukan apa, kadang-kadang saya habis penggambaran jam 3 pagi, mana mungkin saya mahu meminta tunang untuk keluar bersama saya sedangkan dia pun perlu bekerja esok hari," katanya ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya di Sunway Lagoon, baru-baru ini.

Menyentuh cabaran yang dihadapi apabila bertunang dengan 'orang luar' lebih-lebih lagi ketika bulan puasa ini, Serina menegaskan semuanya berbalik kepada prinsip individu itu sendiri sama ada mahu melaksanakan tuntutan agama atau tidak.

"Tunang saya mempunyai personaliti hampir sama dengan saya yang 'sporting' dan gila-gila.

"Dia akan sedia mendengar nasihat saya, malah saya juga akan menggalakkan dia untuk berpuasa penuh setiap hari. Ini tanggungjawab besar saya setelah saya mengambil keputusan untuk bersama dengan saudara baru.

"Perbezaan budaya antara kami menjadikan hubungan ini amat berbeza yang mana saya bukan saja sebagai tunangnya, malah saya juga memainkan peranan sebagai 'gurunya.'

"Saya bersyukur kerana saya rasa inilah salah satu hikmah apabila Allah menentukan saya bertemu dengannya untuk kami sama-sama belajar dan mendalami agama suci ini," katanya.Serena memilih 1 Januari nanti sebagai tarikh bahagianya untuk disatukan dengan Salahudin selepas dilamar Jun lalu.


Walaupun sibuk dengan aktiviti seni dan persiapan perkahwinan, Serina tetap memastikan sambutan raya kali ini tetap meriah ditambah pula dengan kehadiran tunang tersayang dalam hidupnya kini.

"Tahun ini saya beraya penuh kesederhanaan kerana bajet lebih banyak ditumpukan untuk perkahwinan.

"Kami akan balik kampung saya di Raub, Pahang selama dua hari. Tunang saya gemarkan rendang daging buatan nenek saya serta kuih tat air tangan mak cik saya.

"Saya akan pulang ke Kuala lumpur pada raya ketiga kerana mempunyai banyak projek yang perlu disiapkan seterusnya beraya dengan keluarga sebelah ibu di sini pula.

"Jadi, peminat yang ingin bertemu saya, jemputlah datang ke rumah nenek saya di Sungai Koyan pada hari raya nanti. "Walaupun tidak seberapa, tapi saya tetap akan melayan semua yang hadir seadanya," katanya.

Serina turut memaklumkan dia akan mengurangkan aktiviti seninya selepas bergelar isteri nanti kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga yang baru dibina.

"Saya percaya, perkahwinan bahagia bermula dengan seorang isteri yang baik yang menjaga keperluan suami dan menguruskan rumah tangga sendiri. Kalau isteri sibuk, bagaimana dengan perhatian pada suami.

"Apapun, saya sendiri tidak tahu lagi perancangan akan datang. Mungkin saya akan memulakan perniagaan sendiri selepas ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: