Saturday, September 12, 2009

Norman jelas isu pendet


SIRI dokumentari 'Enigmatic Malaysia' terbitan KRU Studios dan diberikan hak penyiarannya kepada Discovery Channel, di 21 negara, menimbulkan kontroversi di kalangan media Indonesia baru-baru ini.

Salah faham timbul sebaik 'promo' yang disunting Discovery Networks Asia-Pasific untuk mempromosikan siri dokumentari ini menonjolkan gambar tarian pendet dari Bali, Indonesia. Ia disalahertikan sebagai iklan mempromosikan industri pelancongan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, gambar tarian pendet itu di peroleh Discovery dari pihak ketiga dan bukan dari KRU Studios.

Katanya, pihaknya paparkan sejenis tarian Jawa menerusi satu siri dokumentari berjudul Batik untuk menunjukkan kaitan antara batik dan tarian Jawa.

"Segmen ini menceritakan asal usul batik yang dikatakan dari kalangan keluarga diraja di Jawa ratusan tahun dulu. Sebelum ia melalui proses evolusi dan berubah menjadi batik yang beridentitikan Malaysia.

"Sebagai ilustrasi kreatif, segmen itu dilakonkan semula dan menyelitkan tarian terbabit. Bagaimanapun, visual yang dipaparkan dalam promo terbitan Discovery itu bukan dari visual arkib kami.

"Malah skop penceritaan dari kami sendiri lebih menjurus kepada pembuatan batik dan bukannya tarian," katanya.

Ekoran kontroversi yang ditimbulkan, Discovery menamatkan 'promo' itu dan menggantikannya dengan promo yang baru, sekali gus mengeluarkan tarian pendet bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan.

Sebelum ini, Discovery mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan kesal terhadap isu berbangkit.

Sebagai pihak yang prihatin, KRU Studios juga membuat satu penjelasan berhubung perkara ini melalui satu temuramah Norman yang disiarkan secara langsung di TV One, Indonesia pada 24 Ogos lalu.

Kemudian pada 25 Ogos, Norman bertemu Menteri Kebudayaan dan Pariwisata Indonesia, Jero Wacik dan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar, untuk menjelaskan isu itu.

Meskipun asal usul batik disalahertikan dan dieksploitasikan menjadi isu sensitif di dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia, agak membanggakan apabila salah satu episod dokumentari 'Enigmatic Malaysia' berjudul 'Melakan Portuguese' menang anugerah juri dalam acara anugerah di Bali International Film Festival, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: