Tuesday, September 1, 2009

Rakaman percakapan palsu PM Thai diedar




BANGKOK - Polis Thailand semalam menangkap dua suspek yang dipercayai menghantar e-mel mengandungi rakaman percakapan palsu Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva (gambar) yang membincangkan cara untuk mencetuskan huru-hara sebagai usaha menangani kumpulan antikerajaan.

Suspek-supek itu bekerja dengan SC Asset iaitu sebuah syarikat yang dikawal oleh keluarga bekas Perdana Menteri Thaksin, Shinawatra.

Rakaman audio palsu selama empat minit itu menunjukkan Abhisit mengarahkan anggota-anggota keselamatan Thailand pada April lalu untuk 'mengajar' penunjuk perasaan antikerajaan dan mencetus kekacauan bagi membolehkan tindakan terhadap mereka dilakukan.

Kedua-dua lelaki itu berhadapan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih Bt100,000 (RM10,353) mengikut Akta Jenayah Komputer kerana menyebarkan maklumat palsu kepada pihak ketiga.

Kekacauan politik terus melanda Thailand sejak Thaksin digulingkan oleh junta tentera pada September 2006.

Peguam SC Asset, Pichit Chuenban berkata, dua pekerja itu menerima rakaman audio tersebut daripada seseorang sebelum mengirimkannya semula kepada orang lain.

Syarikat yang menjalankan perniagaan hartanah itu menjelaskan ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat kes berkenaan.

Kedua-dua suspek kemudian dibebaskan dengan ikat jamin Bt100,000 (RM10,353).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: