Friday, September 11, 2009

Pengalaman pakai tudung ubah Ifa Raziah jadi baik!

Ifa kini hidup bahagia bersama suaminya, Muhd. Yani Abdul Rahman yang juga merupakan pengurusnya.

PENYANYI dangdut, pelakon dan pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Ifa Raziah tidak pernah lekang dengan isu kontroversi.

Dari berpakaian seksi, guna botoks, kacau anak teruna orang hinggalah kisah dia berselisih pendapat sesama artis, Ifa sering menjadi bahan gosip.

Ifa sebenarnya sudah letih menjadi fokus dan tajuk perbualan orang ramai.

Walaupun sibuk menjual hamper Raya, Ifa sempat juga membintangi komedi Astro Prima, "Pak Ngah Tarbus" yang bakal ditayangkan pada Hari Raya kelima menyuntik keinsafan pada dirinya.

Yang menarik tentang komedi ini ialah Ifa buat julung-julung kali memakai tudung litup.

"Ia adalah karakter pertama yang menampilkan saya 100 peratus bertudung litup. Dan selepas 14 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, ini merupakan karakter pertama saya bertudung pertama.

"Memang panas. Lebih-lebih lagi pada bulan puasa ini, sesi penggambaran komedi telah mencabar iman saya dan saya terpanggil untuk membuat kebaikan," kata Ifa yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran album 'Drama Sebabak Raya' di Hotel Bouvelard, Mid Valley City baru-baru ini.

Pengalaman memakai tudung dalam komedi berbentuk keagamaan "Pak Ngah Tarbus" ternyata mendekatkan diri Ifa kepada Tuhan Yang Esa.

Ifa mengakui dirinya tidak pernah bertudung semasa membuat persembahan nyanyian mahupun bekerja sebagai pengacara.

Ifa ialah penyanyi dangdut, pelakon dan pengacara Wanita Hari Ini (WHI).

"Dalam komedi itu, saya memegang watak perempuan tamak yang dengki dengan orang-orang kampung. Saya nak tunai haji tetapi tidak ada duit. Disebabkan itu, sanggup berhutang dengan ah long malah sanggup gadaikan ladang.

"Bila balik dari mengerjakan umrah, saya dan suami menjadi sombong. Kami berasa penduduk yang belum mengerjakan umrah tidak layak untuk bercampur gaul dengan kami," kata Ifa yang mempunyai dua orang anak iaitu Sharifah Puteri Umairah, 10, dan Nuhammad Shakir Aqili, 4.

Watak perempuan bernama Hajjah Dijah yang dibawanya bukan ikhlas untuk mengerjakan umrah.

Watak perempuan itu hanya disedarkan oleh anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

Anaknya mempersoalkannya kenapa memakai duit haram ah long untuk mengerjakan haji.

"Akhirnya, watak saya mendapat keinsafan di bulan Syawal," kata Ifa sambil menambah penggambaran komedi "Haji Tawwuf" habis semalam (7 September 2009) dan meninggalkan impak mendalam kepadanya.

Adakah Ifa akan tampil bertudung selepas ini?

Ifa sedar bertudung itu wajib menurut rukun Islam. Namun bukan sekarang.

Menurut Ifa, dia akan berbuat demikian pada suatu hari nanti apabila ada seruan dan lahir dari hatinya.

"Saya ingin terus mengerjakan haji untuk memenuhi salah satu rukun Islam. Hidup dan mati kita tidak tahu.. Ia mungkin hari ini atau esok," katanya.

Sementara itu, di bulan Ramadan, Ifa lebih banyak menghabiskan masa membuat persembahan nyanyian dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan orang-orang tua.

Ifa mula menyanyi pada 1996 ketika berumur 21 tahun lagi. Antara albumnya, 'Ifa Raziah' (1996), 'Ser... Ser... Ser...' (1998), 'Gemerincing Rindu' (2004) dan "Panas" (2008).

"Saya kini sibuk mempromosikan hamper raya dan kuih raya yang dibuat sendiri," katanya yang telah berkecimpung dalam bidang perniagaan itu selama dua tahun.

Tambah Ifa, jualan yang dibuat menerusi Facebook, media dan kawan-kawan adalah amat menggalakkan setakat ini. Dia juga merupakan pengasas produk penjagaan kulit, "Serifah Bai Ifa Raziah"

Dalam pada itu, Ifa yang juga pengacara WHI dalam segmen 'Tilam dan Bantal' itu berkata, dia semakin serasi membicarakan kisah gelora rumahtangga para penonton TV3 pada setiap Jumaat dari 12 tengah hari hingga 1 petang.

"Setiap episod, kami akan kupas masalah dalam dan luar rumahtangga. Saya tahu berumahtangga memang penuh dengan onak dan duri. Oleh itu, saya ambil peluang ini untuk berkongsi pengalaman saya bersama para penonton," katanya yang pernah gagal dalam perkahwinan sebanyak dua kali sebelum ini.

Ifa kini hidup bahagia bersama suaminya, Muhd. Yani Abdul Rahman yang juga merupakan pengurusnya.

"Yang penting sekali kita tutup satu buku, kita buka satu buku yang lain," kata Ifa yang akan berlakon dalam drama bersiri "Spa Q" musim ketiga dan "Ratu Sunti" selepas Raya ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment