|
|
MELETAKKAN objektif untuk membentuk kerjaya generasi muda sebagai wartawan, penyampai berita dan pengacara yang mahir serta serba boleh, Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini mengorak langkah apabila menerbitkan sebuah rancangan realiti televisyen, Penyampai Ikon.
Sudah pun bersiaran di TV2 bermula 22 Ogos lalu, seramai 17 finalis terpilih untuk meneruskan cabaran dalam merebut kejuaraan di samping jaminan kerjaya bersama RTM.
Daripada 6,000 peserta yang menghadiri sesi uji bakat, mereka sebenarnya cukup bertuah kerana selain didedahkan dengan dunia glamor, latihan secara profesional disediakan sepanjang menjalani pembelajaran di mahligai gading dinamakan Kolej Penyampai Ikon.
Latihan-latihan itu merangkumi etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera dan penyampaian berita serta latihan melaporkan berita dari lokasi secara langsung.
Penggunaan pelbagai peralatan penerbitan dan cara penyesuaian diri dengan persekitaran studio juga diberikan di samping latihan vokal, teknik pembacaan skrip dan penghayatan serta pemahaman skrip.
Bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran dunia kewartawanan, mereka turut berpeluang menemui tokoh-tokoh wartawan negara yang mempunyai pengalaman luar dalam bidang berkenaan.
Finalis yang bertuah itu ialah Kamal Firmanshah Kamaluddin, 25; Norsila Talaha, 26; Siti Aisyah Baslie, 24; Cassandra Manja, 23; Noormadiana Kamaluddin, 23; Athikah Mohd. Naim, 23; Aina Suzaily M. Zailanny, 20; Mohamed Shahril Sarapudin, 21; dan Enzyfrido Abu Hasan, 24.
Lapan lagi yang tersenarai sebagai finalis ialah, Nur 'Izaati Abul 'As, 22; Hazel Anak Desmond, 26; Mohd. Sharkawi Mohd. Sallehuddin, 23; Siti Fazurita Mohd. Famir, 25; Beatrice Krishnan, 23; Al Firdaus Shahrul Naing, 21; Khirjaa a/p Palanisamy, 27; serta Khairul Faizi Dalaiil, 23.
Menurut Pengetua Kolej Penyampai Ikon, Yusanani Yushak, Penyampai Ikon cukup berbeza jika hendak dibandingkan dengan program realiti televisyen yang lain.
Jelasnya, antara perbezaan itu ialah Penyampai Ikon tidak menggunakan medium undian secara khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam aspek penjurian.
"Penjurian akan dilakukan oleh juri profesional sepenuhnya. Pada setiap dua minggu sekali, kesemua finalis akan berhadapan dengan juri profesional.
"Juri-juri ini akan menilai kemampuan dan hasil kerja finalis sebelum mengumumkan siapa yang tersingkir untuk minggu tersebut.
"Namun, apa yang menariknya, bagi yang tersingkir, mereka akan tetap diberikan peluang untuk meneruskan pembelajaran tetapi tidak terlibat lagi dalam aspek penjurian,'' katanya pada sidang akhbar penyerahan surat tawaran pengajian di Kolej Penyampai Ikon kepada finalis Penyampai Ikon di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis penyerahan surat tawaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.
Penyampai Ikon yang akan bersiaran selama 13 episod itu menampilkan penyanyi Misha Omar selaku hos rancangan manakala Mohd. Yusni Mohamed Ali sebagai penerbit.
Seramai lima peserta akan berentap pada Malam Anugerah Penyampai Ikon yang akan disiarkan secara langsung dari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 14 November depan.
Menurut Yusanani yang juga bekas pembaca berita, juri-juri yang terlibat dalam pengadilan Penyampai Ikon akan diumumkan kemudian tetapi ia bakal dianggotai kalangan wartawan tersohor, ahli akademik dan pengarah serta pelakon popular.
Jelasnya, tugasan yang menanti setiap finalis cukup mencabar dengan meletakkan mereka ke dunia realiti sebenar bidang penyiaran.
"Mereka akan ditugaskan untuk mencari berita, menulis berita dan menilai kesesuaian visual dengan skrip.
"Pendek kata, apabila berakhir sahaja program ini, setiap mereka yang berada di dalam Penyampai Ikon sudah pun bersedia dan tahu apa yang harus dilakukan andai berpeluang menceburi bidang penyiaran,'' katanya.
Yusanani turut memberitahu, sepanjang tempoh berada di dalam Penyampai Ikon, kesemua finalis akan ditempatkan di Wisma TV dan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), Angkasapuri untuk program latihan.
Bagaimanapun, persoalan yang tidak dapat dinafikan ialah sejauh mana program ini dapat lari daripada elemen populariti?
Menjawab soalan ini, Yusanani berkata: "Memanglah apabila berada di kaca televisyen, glamor itu akan dirasai.
"Bagaimanapun, dari hari pertama lagi, mereka (finalis) telah diberi motivasi dan diingatkan agar tidak mengejar glamor. Itu bukanlah matlamat utama.''
Yusanani yang pernah muncul sebagai antara penyampai berita terbaik negara berkata, selain kualiti tugasan dan penyesuaian diri dalam persekitaran kerja, setiap finalis juga akan dinilai daripada segi budi bahasa.
"Nilai-nilai melalui ucapan, pertuturan harian, perlakuan dan pergaulan juga akan diperhatikan. Mereka juga akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti jabatan yang berada di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
"Sebab itulah ia dinamakan ikon. Kami mahu mendidik mereka supaya mampu menjadi contoh satu hari nanti,'' tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: