
KUALA LUMPUR - Selepas empat tahun setengah 'menyepikan diri', Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya kembali memikul tanggungjawab selaku penasihat kepada pengeluar kereta nasional, Proton Holding Berhad (Proton).
Proton telah menyediakan sebuah pejabat khas untuk Dr. Mahathir bagi membolehkan pengasas kereta nasional itu datang ke kilang Proton dua minggu sekali.
Bekas Perdana Menteri itu yang tidak terikat dengan sebarang kontrak dijangka memulakan tugasnya selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, sebagai penasihat, pihak Proton akan mendapat maklum balas dan nasihat daripada Dr. Mahathir berkaitan hala tuju Proton.
Beliau melahirkan rasa gembira apabila Dr. Mahathir kembali melawat kilang Proton kelmarin.
"Dengan adanya Tun Mahathir dalam Proton sebagai penasihat, kami harap boleh memperoleh pandangan daripada individu yang bertanggungjawab membina Proton sejak 27 tahun lalu.
"Sudah tentu pandangan dan peranan beliau amat penting dan ia bukan sekadar dari aspek visi serta hala tuju, malah suntikan moral kepada para pekerja Proton kerana beliau juga akan memberi masa kepada kami untuk memberikan maklum balas," kata Syed Zainal ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Proton bersama media di sini semalam.
Pada majlis tersebut Syed Zainal turut diraikan oleh kakitangan Proton dan petugas media sempena hari lahirnya yang ke-47 yang jatuh pada tarikh 11 September.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: