Saturday, September 12, 2009

Keluarga Semenya marah


GAMBAR fail menunjukkan gambar Semenya melambaikan tangan kepada peminat-peminatnya di Polokwane pada 29 Ogos lalu.


JOHANNESBURG - Beberapa pegawai olahraga Afrika Selatan dan keluarga pemenang acara 800 meter wanita, Caster Semenya berang berhubung artikel sebuah akhbar Australia yang menyatakan dia seorang khunsa.

"Kenapa mereka busuk hati sehingga sanggup menyatakan perkara yang buruk itu. Kenapakah anda bertanya perkara ini," kata ibu Semenya, Dorcus Semenya sebelum meletakkan telefon, lapor akhbar The Times semalam.

Nenek atlet itu, Maphuthi Sekgale turut terkejut dan marah apabila diberitahu berhubung artikel tersebut.

"Saya membesarkan Semenya sebagai seorang gadis dan saya yakin dia seorang perempuan. Sebagai keluarganya, kami tidak peduli apa yang diperkatakan oleh mana-mana pihak biar pun dia tidak akan menyertai acara antarabangsa selepas ini. Kami akan sentiasa memberi sokongan terhadap bakat Semenya sebagai pelari," kata neneknya.

Reaksi wanita itu berlaku sehari selepas akhbar Daily Telegraph di Sydney melaporkan bahawa ujian jantina mendapati Semenya seorang khunsa yang memiliki dua jantina.

Bapa Semenya, Jacob turut berang apabila dihubungi agensi berita AP pada pagi semalam.

Dia menyifatkan mereka yang menggelarkan anaknya khunsa sebagai 'sakit jiwa' atau 'gila'.

Namun, Presiden Olahraga Afrika Selatan, Leornado Chuene berkata, laporan tersebut tidak mengejutkannya kerana sejak awal kontroversi itu tercetus, beliau sudah menjangkakannya. Semenya merupakan anak emas Afrika Selatan apabila memenangi pingat emas dalam acara 800 meter di Kejohanan Olahraga Dunia di Berlin dengan catatan masa 1 minit 55.45 saat, sekali gus menjadi masa terpantas tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: