Monday, September 28, 2009

Isma tolak jadi pelakon murah


ISMA tidak mahu terkenal kerana kecantikan atau kontroversi sebaliknya kerana bakat.


JIKA bukan kerana pembabitannya dalam siri Ghost musim kedua yang ditayangkan di 8TV pada 19 April lalu, nama Isma Hanum mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk dikenali ramai.

Memegang watak Harum dalam drama tersebut, Isma, 24, turut mengakui hakikat bahawa dirinya terkenal kerana populariti siri arahan Ng Ping Ho itu.

Mengagumi aktres Cheryl Samad, Isma yang masih baru dalam industri hiburan banyak melihat cara pelakon senior menjayakan watak masing-masing sebagai satu proses pembelajaran. Dia yang mengambil kelas analisis skrip serta persembahan di KLPac mula menyukai lakonan sejak terlibat dalam teater muzikal.

Malah, selain daripada pengajian di KLPac, Isma turut mengambil kursus pengajian teater jarak jauh di Universiti Rose Bruford, Manchester sehingga kini.

Minat mendalam Isma dalam bidang lakonan mengejutkan keluarganya kerana mereka tidak menyangka dia yang merupakan pelajar cemerlang akan menjadi pelakon.

"Memang keluarga terkejut tetapi saya telah membuktikan kepada mereka bahawa saya bersungguh-sungguh. Tapi saya sedar bahawa saya masih mempunyai perjalanan yang jauh. Hanya menghadiri kelas lakonan tidak mencukupi.

"Latihan dan peluang untuk berlakon juga penting dalam memperbaiki lakonan," kata Isma ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di The Curve, Damansara Ramadan lalu.

Menghadapi kesukaran untuk mendalami watak, Isma mahu mempelajari teknik lakonan supaya lebih yakin semasa berada di set penggambaran.

Sentiasa diberi watak lebih muda berbanding usianya, Isma sebenarnya gemar membawakan watak antagonis. Ini kerana melalui watak itu dia boleh meneroka lebih banyak sisi berlainan.


ISMA (kanan) membantu anak yatim memilih baju raya di The Curve baru-baru ini.


"Watak jahat lebih mengujakan dan mencabar. Contohnya seperti semasa saya berlakon drama Kekasihku Seru. Saya diberikan watak sebagai bomoh dan itu adalah peranan yang paling saya gemari setakat ini," katanya yang mempunyai seorang abang dan kakak.

Mendapat pelbagai tawaran sejak penglibatan dalam drama Ghost, Isma banyak menolak kerana jadual kelasnya. Aktres itu juga tidak suka menerima projek secara sebarangan.

Dia mengakui mempunyai sikap memilih kerana hanya mahukan projek yang boleh membantu kariernya ke depan dan bukannya semakin merosot.

"Ramai orang mempunyai tanggapan bahawa menerima banyak projek bermaksud pelakon itu popular.

"Tapi bagi saya, jika anda menerima satu-satu projek itu tanpa mengambil kira bayaran, ini bermaksud anda seolah-olah murah.

"Lagipun sekarang ramai pelakon baru dan mereka berlakon dengan harga yang murah. Saya tidak mahu menjadi sebegitu. Itu adalah kelainan saya dengan pelakon baru yang lain," ujarnya yang masih bujang.

Menolak projek walaupun masih baru mungkin akan membuatkan orang memikirkan Isma mengetepikan peluang untuk menjadi lebih popular. Namun, dia yang sudah dua tahun berlakon memberitahu setiap orang mempunyai perjalanan seni yang berbeza.

Ada pelakon yang memerlukan masa tiga bulan sahaja untuk menjadi terkenal kerana terlibat dengan projek mega dan ada pula yang sudah berlakon selama 10 tahun masih suam-suam kuku.

"Semuanya bergantung kepada nasib dan peluang masing-masing. Namun, saya amat selesa dengan situasi saya sekarang. Bukannya saya amat popular tetapi semasa saya keluar, ada juga orang yang mengenali.

"Lagipun sejak mula saya terlibat dengan teater, saya bukan mahukan hidup glamor. Tapi glamor sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan saya tidak menolaknya. Cuma saya mahu orang mengenali saya menerusi bakat," katanya yang mahir berbahasa Melayu, Inggeris dan Perancis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: