Sunday, September 6, 2009

Imran tempah tiket balik raya




SUDAH dua minggu umat Islam menjalani ibadat berpuasa. Ada yang dah berkira-kira pasal sambutan hari raya. Segala-galanya mahu disegerakan takut tidak sempat.

Bagi pelajar yang belajar jauh dari kampung halaman, usaha menempah tiket juga harus disegerakan. Kalau tidak tempah awal, tidak dapatlah beraya bersama keluarga. Sejak awal Ramadan lagi mereka sudah menempah tiket balik kampung.

Penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini, Imran Mat Jasin juga sudah menempah awal tiket bas untuk pulang ke kampungnya di Kuala Krai, Kelantan menjelang raya nanti.

"Kebetulan selepas Hari Raya Aidilfitri, saya bercuti semester lebih sebulan, bolehlah tinggal lama di kampung sepanjang musim raya nanti," kata Imran kepada Pancaindera.

Imran sekarang tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan sekolej. Beliau masih menuntut di tahun kedua dalam jurusan Diploma dalam Pengurusan Hotel dan Hospitaliti di sebuah kolej di ibu negara.

"Hari ini saya berbuka beramai-ramai dengan rakan kolej di sebuah restoran, sekarang ini sedang membeli juadah di Pasar Ramadan di Kampung Baru," kata Imran semasa dihubungi Khamis lalu.

Imran mula berminat dalam dunia perhotelan setelah beberapa tahun bekerja dalam sektor itu. Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Imran sebenarnya layak ke pusat pengajian tinggi namun beliau tangguhkan.

"Pada masa itu keluarga kurang mampu dan ada lagi adik yang masih bersekolah, jadi saya beri laluan kepada mereka dan saya lupakan dulu hasrat belajar dan datang ke Kuala Lumpur cari kerja.

"Tapi saya tidak pernah padamkan hasrat nak menyambung belajar. Saya kumpul wang dan sekarang saya menggunakan wang sendiri untuk belajar. Saya masih bekerja di hotel secara separuh masa sahaja," jelas Imran.

Imran juga meminati dunia peragaan. Sebab itulah beliau menyertai Pencarian Kacak Bergaya 2010. Pendedahan yang diterima diharap dapat mengembangkan langkahnya dalam bidang itu.

"Saya masih baru dan tidak ada pengalaman. Ada juga saya dipanggil menghadiri uji bakat untuk iklan tapi pada masa itu saya sibuk belajar dan tak berkesempatan untuk mencuba nasib.

"Saya juga harap akan dapat menambah kenalan apabila tersiar cerita saya dalam ruangan ini," sambung Imran lagi.

Bercerita pasal pengalaman balik kampung, Imran pernah lalui perjalanan lebih 12 jam untuk pulang ke kampung yang biasanya hanya memakan masa enam jam sahaja.

"Saya balik sehari sebelum hari raya menaiki kereta kawan. Kami bertolak waktu tengah hari dan sampai ke rumah saya selepas tengah malam. Memang penat kerana terlalu banyak kereta sepanjang perjalanan.

"Sebab itu tahun ini saya tempah tiket awal-awal dan pulang ke kampung lebih awal sedikit. Saya sudah tempah tiket perjalanan pada 18 September nanti," kata beliau.

Imran pernah beraya sendirian pada tahun pertama datang ke Kuala Lumpur. Pada masa itu beliau baru sangat diterima bekerja.

"Adatlah orang baru mana boleh cuti panjang, saya terpaksalah beraya sendirian dan bersama rakan sekerja. Memang sedih apabila tiba hari raya, tapi apa nak buat sebab kita ikut sajalah," imbaunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: