Sunday, September 6, 2009

Tidak malu berlakon watak gay


Wan Raja (kanan) bersama Arja Lee (kiri) sanggup mengambil risiko sekiranya masyarakat melabelkan mereka pasangan gay yang secocok.


PEMEGANG watak gay dalam filem kontroversi ...Dalam Botol, Wan Raja, 31, dan Arja Lee, 25, bersedia untuk dikecam serta dilabelkan pelakon gay selepas berlakon dalam filem tersebut.

Pendatang baru dalam bidang lakonan itu juga sanggup dikritik kerana menjadi nadi kepada filem yang bercanggah dengan norma masyarakat setempat itu.

Bagi mereka, soal pemulauan oleh pihak-pihak tertentu yang kurang bersetuju dengan penghasilan filem itu tidak mendatangkan hasil kerana filem itu mempunyai mesej tersendiri yang diselitkan pada akhir cerita.

Wan Raja atau nama sebenarnya, Saiful Redzuan Abu Bakar berpendirian, ...Dalam Botol adalah filem kontroversi yang bakal membuka minda masyarakat dengan permasalahan sebenar yang wujud di persekitaran mereka setelah sekian lama dipendamkan.

“Saya berpegang kepada satu sebab iaitu pengajaran yang boleh diambil daripada filem ini. Sebagai seorang lelaki, saya tidak ghairah sekiranya dipeluk oleh kaum sejenis. Tidak malu untuk memegang tangan atau duduk bersebelahan mereka kerana kami adalah lelaki,” ujarnya.

Katanya, tidak ada sebab untuk dia merasa malu melakonkan watak gay. Lagi pun, filem ini bukan ‘cerita dongeng’. Ia dibuat penuh dengan penyelidikan terperinci seperti kawasan-kawasan yang sering menjadi perhatian kaum Adam, kaedah pendekatan, perlakuan, percakapan yang sering digunakan mereka.

“Saya berfikiran terbuka dalam perkara gay ini. Saya juga berani menuruti segala arahan yang dituntut pengarah termasuk adegan berdua-duaan di bilik dan di ranjang bagi menghidupkan lagi filem ini,” kata pemegang watak Ghaus.

Wan Raja yang berpengalaman lebih sembilan tahun dalam pementasan teater ini juga menyedari risiko yang perlu diambil semenjak sesi uji bakat lagi dan percaya pembawaan diri dapat menghapuskan hasrat penonton yang terpengaruh dengan wataknya dalam filem berkenaan.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini juga menerima tekanan berganda kerana sebagai muka baru perlu mendukung watak berat dan memastikan filem kontroversi sihat itu diterima masyarakat.

Bagi Arja Lee yang memikul watak Ruby merasakan kemampuannya sebagai anak seni tercabar dengan melakonkan watak luar daripada lingkungan kebiasaan.

“Saya menerima banyak reaksi daripada orang ramai selepas diterima melakonkan watak Ruby, lelaki yang telah membuang alat sulitnya dan ingin kembali kepada kehidupan lampau.

“Saya tahu, sebagai manusia biasa, kita tidak boleh capai pemikiran orang lain terutamanya di kalangan orang Melayu konservatif. Mereka mempunyai 1,001 alasan untuk menolak watak sedemikian. Tetapi itu terpulanglah kepada penerimaan masing-masing.

“Saya juga tahu batasan tertentu dan isu gay ini sebenarnya nampak sahaja secara lahiriah tetapi tidak ada sesiapa yang bertindak mengawalnya. Jadi, perkara ini yang hendak diketengahkan,” Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudn Ramli ini saat melontarkan pandangannya mengenai cinta sesama jenis.

Pelakon drama Alahai Anak Omak ini juga mendapat restu daripada ibu bapa terlebih dahulu selain mendapatkan pandangan daripada mereka mengenai intipati filem berkenaan sebelum menerima tawaran berlakon.

Katanya, apa yang penting dalam melakukan satu kerja itu adalah niat dan segala perlakuan secara terlebih-lebih itu pasti mengundang cemuhan daripada orang ramai.

Filem ...Dalam Botol mengisahkan tentang seorang lelaki, Rubidin atau Robert yang telah membuat tindakan nekad iaitu menjalani pembedahan jantina menjadi seorang wanita. Ia bertujuan untuk membuktikan cintanya terhadap teman wanitanya, Ghaus. Lalu Rubidin pun menukar namanya kepada Ruby.

Perhitungan Ruby rupanya tidak betul kerana Ghaus tidak dapat menerimanya dalam keadaan fizikal seperti seorang wanita lantas membuatkannya kecewa dan menuduh Ghaus penipu. Keadaan bertambah sulit apabila hormon lelaki dalam tubuh Ruby kembali menyerlah dan rasa keinginan untuk kembali menjadi lelaki semakin memuncak setelah jatuh cinta dengan seorang wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: