Sunday, September 13, 2009

Farah Asyikin tolak kontroversi


Farah Asyikin


MULA dikenali menerusi rancangan realiti televisyen, Malaysian Idol 2 dan One In A Million (OIAM), Farah Asyikin Zulkifli memilih bersikap sederhana sebagai artis.

Tidak mahu dikenali sebagai artis kontroversi, Farah ingin menyerlah menerusi bakat seninya.

Selepas ikatan perkahwinan dibina bersama Dr Fariz Yahya, 31, berakhir dengan perpisahan, Farah dihimpit dengan gosip liar sebagai janda.

Namun, artis berusia 30 tahun ini tidak pernah melatah dan berputus asa.

Dia cuba memperbaiki diri kerana minatnya dalam bidang seni tidak pernah pudar.

Berjaya merangkul Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) 2008, Farah cuba bangkit semula.

“Menerusi anugerah ini, Farah yakin masih ramai yang mengiktiraf bakat Farah berbanding kisah hidup peribadi. Farah sendiri tidak pernah mengeluh walaupun ada ketikanya Farah merasakan kehadiran Farah dalam bidang ini masih tidak disedari ramai. Farah yakin kita boleh berjaya perlahan-

lahan jika berusaha. Farah sendiri kurang gemar kontroversi kerana yakin bakat lebih utama untuk berjaya,” kata penyanyi lagu popular, Hello.

*Berlakon

Dalam diam-diam, wanita sederhana ini bakal muncul dalam telemovie Aidilfitri untuk TV9, Satu Hari Di Hari Raya.

“Farah akan bergandingan dengan pelakon lain antaranya Khir Rahman, Adibah Noor, Amer (kumpulan Sofaz) dan Nubhan (AF6). Telefilem ini mengisahkan Farah yang membawa watak Serina, seorang penerbit program realiti TV. Farah menjalin cinta dengan tiga lelaki.

“Pertama dengan seorang doktor. Kemudian, dikaitkan pula dengan seorang peserta program realiti TV dan akhirnya rakan sekerja.

“Farah tertarik untuk menerima tawaran ini disebabkan skrip dan jalan cerita yang ada kena mengena dengan diri Farah,” katanya yang seronok berlakon pada kali pertama.

*Pasangan

Timbul juga cerita yang mengatakan Farah cerewet memilih pasangan.

Lebih-lebih lagi, selepas melalui pengalaman kisah penceraian, dia lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pasangan hidup.

“Semua orang akan lebih berhati-hati memilih pasangan setelah melalui seperti yang Farah lalui.

Farah sendiri tidak mahu ulang benda yang sama. Farah lebih suka pasangan hidup mendapat pelepasan piawaian orang tua walaupun Farah sudah dewasa. Ibu bapa lebih tahu apa yang terbaik untuk anak-anak,” ujarnya yang sudah terbuka untuk menerima kehadiran seseorang tetapi belum ada jodoh.

Dalam pada itu, Farah kini bergerak sendiri tanpa pengurus atau pembantu.

Walaupun sukar, dia lebih berdikari dan mempelajari sesuatu yang baru.

“Memang ia berbeza kerana sekarang Farah mengurus jadual Farah sendiri. Apabila ada pengurus artis, dia akan menguruskan semua jadual kita. Walau bagaimanapun, Farah selesa dengan keadaan sekarang kerana masih ada emak yang boleh menemani Farah,” jelasnya.

Namun, Farah tidak pernah melupakan sesiapa yang banyak membantu kariernya.

Walaupun sibuk menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan, Farah masih sibuk memenuhi berbuka puasa.

Secara peribadi, wanita berbintang Scorpio ini lebih gemar berbuka di rumah bersama keluarga kerana mudah untuk bersolat Maghrib dan terawih.

Menjelang Aidilfitri, Farah hanya melakukan persiapan ringkas.

“Mungkin Farah beraya di Kuala Lumpur sahaja. Kalau balik kampung pun, Farah akan ke Seremban beraya bersama keluarga sebelah ibu.

Kebetulan Farah ada persembahan secara langsung dengan Media Prima sempena Aidilfitri,” ujarnya.

Ditanya tentang rezekinya sebagai duta jam tangan Roscani hampir setahun lebih, Farah bersyukur dengan rezeki yang ada.

Baginya, jam tangan bukan sekadar untuk melihat masa tetapi aksesori fesyen seorang wanita.

“Farah amat menyukai koleksi yang terbaru (Trouvaille Ceramic Active Range). Ia sesuai untuk gaya kasual. Pilihan warna putih lebih elegan dan hitam melambangkan kasual dan lasak. Tidak dinafikan, Roscani merupakan jam tangan yang mampu dibeli semua lapisan masyarakat tetapi masih mengekalkan kualiti yang baik,” katanya yang berhajat menghadiahkan jam tangan buat ibu bapanya sempena Aidilfitri yang menjelang tiba.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: