|
|
KIRA-KIRA seminggu lagi, umat Islam akan menyambut kehadiran 1 Syawal. Sebulan berpuasa, sudah tentu ramai yang tidak sabar menantikan kehadiran Syawal dengan penuh kesyukuran.
Jika selama ini jadual harian mereka padat dengan pelbagai aktiviti, bulan Ramadan seakan-akan memberikan mereka ruang untuk terus beribadat kepada Allah.
Bagi penyanyi yang sedang bersinar Imran Ajmain, 28, mereka amat teruja menantikan kehadiran bulan Ramadan ini memandangkan inilah masanya untuk mereka berehat seketika.
Biarpun album Punca Dan Tindakan sudahpun dilancarkan dam menemui peminat, masih banyak lagi perancangan yang sedang diaturkan oleh pihaknya dan syarikat rakaman Metadome Sdn. Bhd. bagi menaikkan lagi nama Imran.
Penyanyi kelahiran Singapura ini sebenarnya begitu bertuah apabila lagu Seribu Tahun benar-benar mempopularkan dirinya. Menjadi lagu tema bagi drama Kerana Cintamu Saerah, lagu tersebut semakin berhantu biarpun ramai yang tidak mengetahui siapakah gerangan penyanyi itu.
Namun kini nama Imran sudah semakin dikenali ramai dengan rangkaian lagu-lagu baru yang tidak kurang hebatnya. Dan kini dia tampil dengan lagu Radio duet bersama Diana Danielle dan Nabil Raja Lawak yang begitu mengujakan.
Kata Imran, sejak mula menjejakkan kaki sebagai anak seni, pelbagai dugaan dan rintangan yang terpaksa ditempuhinya dalam merencanakan apa yang diimpikan. Banyak sungguh pengorbanan yang terpaksa dilalui selam ini.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa jejaka tinggi lampai ini sebenarnya baru sahaja pulang dari Los Angeles kerana menyertai World Championship of Performing Arts (WCOPA), mewakili Singapura dan berjaya memenangi satu pingat emas dan dua gangsa dalam kategori vokal yang dipertandingkan.
“Saya sangat berbangga melihatkan pencapaian negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Filipina yang paling banyak menerima pingat emas dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
“Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya masih lagi mempunyai bakat-bakat yang terbaik dan setaraf dengan negara lain. Cuba mungkin belum ada rezeki lagi.
“Saya juga menganggap bahawa kemenangan ini merupakan salah satu bonus kerana dalam masa yang sama album terbaru saya keluar menemui peminat. Ini membuatkan kebanyakan media-media di Singapura mula mengambil tahu mengenai saya,” kata Imran.
Bercerita mengenai pengalaman berpuasa di Malaysia, Imran sudah tiga tahun merasai nikmat dan keseronokan berhari raya di perantauan. Katanya, dalam tempoh masa itu pelbagai peristiwa yang sudah dilaluinya.
Kebiasaannya Imran akan pulang memandu ke Kota Singa itu seminggu sebelum hari raya Aidilfitri setiap tahun.
“Saya tidak pernah lagi menyambut hari raya di Malaysia. Bagi saya sambutan hari raya di Singapura memang meriah tambahan pula perayaan itu diraikan setahun sekali sahaja.
“Orang Melayu adalah kaum minoriti di sana. Sukar untuk melihat mereka memakai baju Melayu pada hari biasa. Peluang untuk memakai baju Melayu hanya ada pada hari raya sahaja. Sebab itu saya akan menyambutnya dengan meriah.
“Keghairahan untuk menyambut hari raya itu mungkin sudah berkurangan memandangkan usia saya yang semakin meningkat. Tapi itu bukanlah dijadikan alasan untuk saya tidak meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa,” kata Imran yang akan menjamu tetamu dengan lontong, kuah lodeh dan sambal goreng pengantin nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: