Sunday, September 6, 2009

The Fabulous Cats beraya di Indonesia


The Fabulous Cats


KEMUNCULAN Syawal pada tahun ini amat bermakna buat kumpulan R&B Soul Hip Hop, The Fabulous Cats apabila menggabungkan tiga ahli yang mempunyai taraf kerakyatan berbeza – Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Walaupun dilahirkan di negara berlainan tetapi budaya kunjung- mengunjungi, saling memaafkan antara satu sama lain tetap sama dan menjadi agenda utama kemunculan 1 Syawal nanti.

Abang sulung The Fabulous Cats, Cat Farish, 35, merancang untuk mengunjungi ‘adik-adiknya’ iaitu Adeep di Singapura, Wangi (Indonesia) dan Zizi AF7 (Sabah) yang merupakan adik bongsu kumpulan itu.

“Sudah lama kami rancang untuk berkunjung ke rumah setiap ahli. Nak berkenalan juga dengan keluarga dan sanak saudara mereka. Selama ini kita hanya bertukar khabar sahaja tetapi tidak pernah bertentang mata.

“Mengambil keberkatan kedatangan Syawal mendatang ini, jadi apa salahnya The Fabulous Cats beraya di Indonesia. Keluar sedikit belanja asalkan ikatan ukhwah yang terjalin selama ini berpanjangan. Mengenai rumah siapa yang dikunjungi dahulu, kena adakan permuafakatan dan persetujuan semua ahli dalam masa terdekat,” katanya.

Bercerita tentang sambutan perayaan buat dirinya secara terperinci, Cat Farish dijangka beraya bersama keluarga mentuanya di Melaka selama dua hari di sana.

Kata bapa kepada Nia Karlyssa yang kini berusia setahun enam bulan, isterinya, Hartini Ramly, 26, akan memastikan persiapan raya di rumah mereka di Mutiara Bangi, Bandar Baru Bangi lengkap sebelum pulang ke kampung.

“Ini merupakan tahun kedua saya menjadi ketua keluarga. Untuk itu saya pastikan keperluan mereka lengkap barulah saya rasa senang hati. Tidak kira apa pun tema yang isteri mahukan kali ini, janji dia bahagia,” katanya.

Bagi Adeep 31, pula, sambutan raya di Malaysia lebih meriah berbanding di Singapura kerana jumlah kaum Melayu di sana tidak begitu ramai dan suasana kekampungan masih ketara di sini.

Anak kelahiran Jurong, Singapura ini juga merasakan kemeriahan sambutan raya terletak kepada suara kegembiraan kanak-kanak sambil bermain bunga api dan alunan kumpulan marhaban di rumah.

“Adeep akan pulang ke Singapura pada malam raya nanti. Kena pastikan semua kerja selesai baru boleh balik dengan tenang. Rasanya tidak sabar untuk menikmati makanan air tangan ibu, Katijah Omar, 63, yang pandai masak sambal goreng,” ujar Adeep.

Dalam suka Adeep terdapat juga dukanya apabila mengenangkan kemergian ayahnya, Nahar Ibrahim ke rahmatullah pada 12 Februari 2007 lalu akibat penyakit lelah. Tahun ini, Adeep akan menziarah kubur bapanya buat kali kedua bersama Khatijah dan lima adik beradik yang menetap di Singapura.

Gadis manis berasal dari Bandung, Indonesia, Wangi Julianda, 20, akan pulang ke kampung sebelah ibunya di Sukabumi, Jawa Barat seminggu sebelum raya untuk meraikan hari berbahagia itu.

Wangi sememangnya amat teruja dengan kedatangan 1 Syawal kerana akan bercuti selama dua minggu. Dia juga merancang untuk menghabiskan masa dengan menziarahi sanak saudaranya.

“Tahun ini merupakan kali pertama Wangi berpuasa di Malaysia. Nasib baik ada ibu, N. Srie Purnamasari, 50, sepanjang Ramadan ini. Dia yang banyak membantu menguruskan aktiviti harian Wangi. Kalau tiada dia, mesti kelam kabut juga dibuatnya,” kata anak sulung daripada dua beradik ini.

sambutan

Bercerita tentang sambutan perayaan gadis berbintang Capricorn ini di Indonesia, Wangi mengatakan dia seperti umat Islam lain yang akan menunaikan solat sunat raya beramai-ramai di masjid sebelum acara ziarah menziarahi dan meminta maaf bersama keluarga.

Pendatang baru dalam bidang nyanyian, Zizie amat berdebar sekali menunggu ketibaan Syawal yang bakal disambut di Kota Kinabalu, Sabah. Ini kerana buat pertama kalinya Zizie memberikan sokongan berbentuk kewangan buat ahli keluarganya.

“Selalunya Zizie yang akan minta duit raya daripada orang lebih tua. Tapi tahun ini, Zizie pula kena keluarkan sedikit belanja untuk adik-adik dan sesiapa yang lebih muda daripada Zizi. Maklum sahajalah keluarga Zizie besar dan apabila kami berkumpul memang gamatlah juga,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.

Zizie juga tidak sabar untuk menikmati rendang daging, ketupat dan lauk pauk lain yang menjadi menu wajib di pagi raya kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: