KALAU di Barat, meraikan kemenangan atau terima anugerah dengan mengadakan pesta arak, bukanlah satu pemandangan luar biasa. Tapi kalau di Malaysia, apatah lagi membabitkan artis Melayu beragama Islam, perkara itu memang tidak dapat diterima.
Apatah lagi yang membuat onar itu adalah artis popular yang wajahnya sering terpampang di dada akhbar atau sering keluar televisyen. Pendek kata, kalau sebut nama mereka, satu Malaysia kenal.
Menurut sumber Cik Normah yang berada nun seberang lautan, pesta arak bagi meraikan kemenangan ini dihadiri oleh tiga artis terkenal ini. Seorang adalah selebriti serba boleh, seorang lagi pengacara dan pelakon manakala seorang lagi, pelakon wanita cantik yang nampak macam pijak semut pun tak mati.
Kata sumber Cik Normah yang comel macam arnab itu, dia terkejut apabila melihat tiga selebriti terbabit bergembira sakan meneguk air kencing syaitan itu. Agaknya seronok sangat kot sampai terlupa ada banyak mata yang memerhatikan gelagat mereka yang tak senonoh itu.
Arak yang diminum bukan calang-calang harganya. Kata kawan Cik Normah, ia memang mahal dan kalau berbotol-botol, berapa banyaklah yang dihabiskan selebriti ini ya semata-mata untuk meraikan kejayaan yang dikecapinya itu.
Ish! Bila memikirkan perkara, hilang rasa hormat Cik Normah kepada tiga selebriti terbabit. Iyalah, setahu Cik Normah, mereka bertiga ini mempunyai peminat yang ramai dan personaliti mereka memang disenangi banyak pihak.
Tapi sayang, hanya kerana terlalu mengikut nafsu, mereka dah burukkan imej dan reputasi mereka sendiri. Cik Normah harap, selebriti terbabit akan sedar yang perbuatan mereka itu sebenarnya hanya akan menambahkan perasaan meluat orang ramai terhadap dunia artis itu sendiri. Pandai-pandailah jaga nama sementara tengah laku. Esok lusa, bila tak ada orang nak bagi ‘job’ sebab sifat awak yang tak pandai jaga imej, nanti sendiri juga yang susah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: