CIK NORMAH tumpang bangga apabila mendengar cerita yang rumah produksi, Metrowealth selepas raya ini akan lebih aktif dalam menerbitkan filem dan drama. Sewaktu teman Cik Normah duduk bersembang dengan bos syarikat itu, David Teo, terkeluar juga cerita ini dari mulut penerbit yang tak pernah kenal erti putus asa ini.
Kata David, jika segala-galanya berjalan lancar, dia akan menerbitkan lima drama dan empat filem selepas hari raya. Katanya kepada teman Cik Normah yang suka memakan beras perang dan berambut perang itu, dua daripada lima drama itu adalah sambungan kepada siri pertama yang sudah pun menemui penonton sebelum ini.
katanya, dua drama terbitannya iaitu Menantu Vs Mertua 2 dan Jangan Pandang Belakang 2, selain drama bersiri Jangan Tegur serta sebuah drama bercorak keagamaan untuk siaran Oasis serta drama komedi untuk Astro Warna. Amboi! Amboi! Hebat sungguh nampaknya Encik David kita.
Dalam diam-diam, ada saja perancangan yang hendak dibuat. Sikap seperti inilah yang Cik Normah suka kalau bercakap mengenai David. Dia kalau bercakap, semua yang diceritakannya itu akan diusahakannya supaya jadi kenyataan. Bukanlah macam sesetengah pihak yang cakap tak serupa bikin.
Filem belum mula apa-apa, tapi sudah pukul canang sana sini. Tup tup, habuk pun tak ada.
Khabarnya juga, David turut mengambil ramai pelakon baru yang boleh diketengahkan sebagai pelakon. Iyalah, produk David sudah banyak, tentunya dia memerlukan ramai pelakon. Dan yang penting, David tak ambil tangkap muat. Kawan Cik Normah kata, kebanyakan yang David didik itu bukan saja berbakat, tetapi juga cantik dan kacak belaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: