Tuesday, September 1, 2009

Cinta Datuk




Umie Aida mengaku dalam proses mengenali hati budi lelaki yang juga tokoh korporat

USIKAN media yang menemuinya ketika penggambaran program masakan, Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza baru-baru ini disambut dengan senyuman yang meleret manis di wajah ayu Umie Aida.

Sesekali dia berseloroh dan tersipu malu, membalas semula gurauan yang ditujukan. Namun untuk membongkar segala isi hatinya bukan sesuatu yang mudah dilakukan.

“Saya tidak akan sorok jika hari bahagia itu datang nanti,” janji Umie kepada media yang tidak putus menagih kepastian sejak berita dia dilamar ahli perniagaan berpangkat Datuk tersebar beberapa minggu lalu.

Malah teka-teki mengenai siapakah gerangan ahli perniagaan itu mula menjadi bualan di kalangan pihak media dan peminat hiburan tanah air. Ada yang mendakwa sudah mengetahui identiti Datuk itu. Malah ada yang mengaku pernah terserempak dengan tokoh korporat itu bersama aktres yang kelihatan begitu anggun dalam busana baju kurung petang itu.

Sebagai wanita, Umie juga mendambakan kehadiran lelaki bernama suami, malah tidak pernah sesekali menolak ketentuan yang ditakdirkan Tuhan.



Malah aktres yang memberi lakonan berkesan menerusi filem Embun ini berkata, dia ingin sekali berkongsi detik bahagia itu bersama mereka yang sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupnya.

Cuma kata Umie, berikan dia sedikit ruang dan masa kerana segala perancangan ke arah itu masih dalam perbincangan.

“Saya mendoakan supaya jodoh kami dipercepatkan untuk saya mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Perkenalan kami berlaku dalam waktu singkat dan percaya tidak, kami masih belum berkesempatan keluar berdua.

“Dengan ada ikatan pertunangan, barangkali lebih mudah untuk kami saling mengenali hati masing-masing,” kata Umie yang agak pemalu apabila diajak berbicara mengenai hari bahagianya.

Menjengah usia 36 tahun, Umie berpendapat, adalah lebih manis jika dia tidak terlalu menggembar-gemburkan berita itu.

Tambahan pula, fasa yang dilaluinya ini bukan lagi sebuah episod cinta remaja, sebaliknya kata Umie, dia mendambakan sebuah perhubungan serius yang lebih terarah kepada membina keluarga.

“Saya mendoakan sesuatu yang terbaik akan berlaku dalam kehidupan ini. Hanya itu yang dapat saya katakan. Saya reda dan terima jika sudah tertulis dia ialah jodoh saya,” katanya mengakui, tarikh hari bahagianya masih dalam perbincangan.

Kata Umie, pesanan arwah bapanya supaya mencari lelaki yang ikhlas mencintai dirinya membuka pintu hatinya untuk melangkah ke alam berumah tangga.

Umie percaya, keikhlasan dalam perhubungan akan membungakan bahagia sekali gus rumah tangga yang bakal dibinanya nanti juga berkekalan.

“Ramai berpesan begitu dan saya cuma mampu berdoa kehadirannya akan membuat saya serta anak-anak bahagia,” katanya.

Enggan menoleh episod cinta lama yang menjadi catatan sejarah yang tidak ingin dikenang lagi, Umie berkata, dia perlu memberi ruang kepada dirinya untuk mengenali bakal suaminya dengan lebih akrab lagi.

Adik pelakon dan pengarah berkaliber, Erma Fatima ini mengakui, pengalaman menempuh kegagalan dalam percintaan terdahulu membuatkan dia lebih berhati-hati untuk membina hubungan baru.

“Disebabkan terlalu berhati-hati membuatkan sampai satu peringkat saya sukar mencari pasangan baru. Saya akui tidak mudah untuk membina hubungan kerana saya bukan seorang yang senang jatuh cinta.

“Tetapi apabila saya mencintai seseorang, saya akan menyayanginya sepenuh jiwa. Namun perasaan itu berbeza apabila saya berkenalan dengan si dia.

“Gerak hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya. Insya-Allah, Tuhan akan makbulkan. Tuhan menggerakkan semua ini tanpa saya sedari dan perlahan-lahan kami sedang melangkah ke satu tahap yang lebih serius,” katanya.

Sekadar mendedahkan identiti bakal suaminya sebagai duda dua anak berusia pertengahan 40-an , Umie bagaimanapun tidak menafikan sudah melakukan sedikit persiapan menjelang hari bersejarah itu.

Pereka senior, Bill Keith diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan persalinan pada hari pertunangannya nanti.

Tegas Umie lagi, perkahwinan baginya bukan sebuah perjudian, sebaliknya adalah matlamat.

“Seandainya kita yakin, semua benda akan dihadapi dengan tenang dan Insya-Allah perceraian mampu dihindari,” katanya yang dirisik keluarga lelaki itu pada 17 Mei lalu.

Anak mahu Umie bahagia

DITANYA mengenai penerimaan dua anaknya, Daniel dan Helmi, Umie berkata, mereka menerima perkhabaran itu dengan hati terbuka kerana ingin melihat dia bahagia.

Selepas sekian lama hidupnya diabadikan untuk membesarkan dua anak kesayangannya itu, sudah tiba masa mereka ingin melihat kebahagiaan ibu mereka.

“Mereka sudah besar dan makin matang. Alhamdulillah tiada halangan daripada anak-anak dan saya dapat rasakan mereka juga ingin melihat ibu mereka bahagia,” katanya.

Ditanya majlis perkahwinan impiannya, Umie berkata, dia lebih senang merencana sebuah majlis ringkas - sekadar acara pernikahan yang disempurnakan di masjid.

“Sebolehnya saya tidak mahu bersanding kerana malu. Saya seorang yang ringkas, cukup sekadar nikah di masjid. Tetapi saya juga perlu menimbang dan menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang bakal membintangi telefilem, Aku Bukan Malaikat arahan Aziz M Osman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: