Tuesday, September 1, 2009
Black lebih selesa bergerak solo
Ketika sesi rakaman Mentor Raya yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini, juara Mentor musim ketiga, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 23, menjawab persoalan yang beliau ditawarkan selaku vokalis Meet Uncle Hussain atau tidak.
Black berkata, semua itu hanya khabar angin kerana kebetulan Black ditabalkan juara Mentor di kala MUH sedang mengintai vokalis yang sesuai untuk menggantikan Lan yang mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.
“Sehingga kini, tiada apa-apa tawaran yang diberikan tidak kiralah sama ada secara lisan atau hitam putih. Mungkin disebabkan faktor suara saya yang tinggi seakan-akan Lan yang menyebabkan khabar angin ini bertiup kencang.
“Saya selesa bergerak sendirian untuk mengukuhkan nama dalam industri ini,” katanya kepada media mengenai isu yang menjadi tanda-tanya banyak pihak itu.
Menurutnya, jika beliau betul-betul menerima tawaran daripada MUH, beliau tetap dengan pendiriannya ingin bergerak secara solo dan menganggap tawaran itu bermakna beliau diterima menyertai persada muzik tanah air.
Sementara menunggu saat berbuka puasa, tetamu dan media turut menyaksikan Black, sah sebagai artis naungan syarikat rakaman Monkey Bone Records (Monkey Bone) apabila satu kontrak dimeterai antara Black dan Monkey Bone.
Beberapa lagu yang dinyanyikan Black ketika menanti waktu berbuka puasa nyata meredakan seketika bunyi keroncong kelaparan yang bergelora dalam perut setiap tetamu hadir.
Konsep santai dan padat dengan elemen hiburan menjadi pilihan penganjur untuk diketengahkan pada malam itu bersesuaian ciri yang ditampilkan Restoran Seri Melayu itu sendiri yang terkenal dengan makanan tradisi Melayu.
Turut memeriahkan majlis warna-warni itu adalah kehadiran semua finalis Mentor musim ketiga diiringi sifu mereka seperti Keena & Awie, Adibah Noor & Thye, Lah & Fira, Ajai & Chaq serta sudah semestinya mentor kesayangan Black yang dianggapnya sebagai ibu, Mas Idayu.
Sementara itu, Pengurus Monkey Bone, Edris Edrian berkata, syarikat rakamannya akan mengeluarkan album penuh Black yang berkonsepkan rock pada November atau Disember tahun ini.
“Mungkin ‘rock alternatif’ khususnya atau ‘pop-rock’ secara amnya sebab Black pun suka menyanyikan lagu pop rock.
“Kami berharap album penuh dapat dilancarkan pada penghujung tahun ini dan dapat kejar timeline agar dapat dicalonkan ke Anugerah Industri Muzik (AIM),” kata Edris.
Black turut menyatakan hasratnya berduet dengan dua idolanya, Mas Idayu dan otai rock Malaysia, Amy Search.
Pada malam itu, Black menerima hadiah kemenangannya iaitu cek bernilai RM100,000 dan sebuah kereta.
“Diharap, dengan duit kemenangan ini, saya dapat menunaikan hasrat kedua-dua ibu bapanya yang ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci sama ada mengerjakan umrah atau haji,” kata Black yang manja dengan kedua-dua orang tuanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: