Monday, September 28, 2009

500 maut nahas hari raya di Indonesia


BEBERAPA penumpang membawa barangan mereka di sebuah stesen kereta api di Jakarta semalam.


JAKARTA - Hampir 500 pengguna jalan raya di Indonesia terbunuh sepanjang musim cuti perayaan Hari Raya Aidifitri di seluruh negara itu, kata seorang pegawai kerajaan semalam.

Jumlah tersebut meliputi semua 1,153 kes kemalangan trafik yang direkodkan dalam tempoh kemuncak enam hari sebelum hari raya dan tiga hari selepas hari raya baru-baru ini.

"Kebanyakan kes melibatkan motosikal dan punca kemalangan disebabkan mereka berada di atas jalan raya secara puratanya selama 16 jam," kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.

Keadaan itu menyebabkan mereka memandu dalam keadaan letih dan mengejar perjalanan balik sekali gus menyebabkan 472 orang maut dan 551 lagi cedera parah.

Angka itu adalah lebih rendah berbanding sekurang-kurangnya 548 orang yang terbunuh, sebahagian besarnya ialah pengguna motosikal pada musim hari raya tahun lalu.

Setiap kali hari raya menjelang, jutaan penduduk pulang ke kampung menjadikan bandar-bandar besar lengang buat seketika.

Sebanyak 90 peratus daripada 234 juta penduduk Indonesia beragama Islam yang merupakan jumlah terbesar untuk sebuah negara di dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: