Wednesday, August 26, 2009

U-Wei berusaha mencari Nina


U-WEI (tiga dari kanan) bersama Zalman (dua dari kanan), Sawicki (kiri) dan antara barisan pelakon filem Hanyut di majlis pelancaran Hanyut di Basil Leaf Restaurant, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


BERMULA dengan filem penuh kontroversi Perempuan, Isteri & ... dan seterusnya Kaki Bakar, Jogho serta Buai Laju Laju, hasil karya pengarah filem tersohor, U-Wei Haji Shaari sememangnya dikagumi ramai pemerhati dan pengkritik filem.

Sebagai seorang pengarah yang mempunyai karisma, namun, kekuatan filem-filem U-Wei bukanlah bersandarkan kepada keupayaannya semata-mata.

Ini kerana, kehebatan barisan pelakon juga merupakan salah satu faktor penting bagi memastikan sesebuah filem tersebut 'hidup' atau sebaliknya.

Untuk itu, bagi U-Wei, kebanyakan pelakon-pelakon yang pernah dicorakkannya tidak pernah mengecewakan.

Nasir Bilal Khan (Perempuan, Isteri & ...); Khalid Salleh (Jogho); dan Eman Manan (Buai Laju Laju), masing-masing pernah menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) 1994, 1999 serta 2004.

Lebih membanggakan pada 1998, Khalid Salleh memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 (FFAP43) yang berlangsung di Taipei.

U-Wei sendiri banyak mencipta kemenangan antaranya untuk filem Perempuan, Isteri &... yang menjuarai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Terbaik pada FFM 1994.

Beliau kemudiannya mengulangi kecemerlangan di FFM 1999 apabila merangkul anugerah Panca Delima untuk Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik menerusi filem Jogho arahannya yang turut terpilih sebagai Filem Terbaik.

Begitulah penangan U-Wei yang begitu dikenali sebagai pengarah yang cukup berhati-hati dalam penghasilan filemnya.

Kini, selepas menyepi buat seketika waktu, U-Wei kembali ke lembah perfileman negara untuk karya terbarunya berjudul Hanyut.

Diterbitkan oleh Tanah Licin Sdn. Bhd., Hanyut merupakan filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Joseph Conrad iaitu Almayer's Folly.

Almayer's Folly berkisar kisah Almayer, seorang pedagang Inggeris yang berdepan dengan pelbagai suka duka kehidupan di Borneo sekitar kurun ke-19.

Impiannya untuk mencari gunung emas yang belum pasti wujud dan tercabar dengan kerenah isteri, kuasa penjajah, ketua suku kaum dan pedagang Arab serta cinta anak perempuannya, Nina terhadap seorang putera Melayu, Dain Maroola.

Almayer mengahwini seorang wanita tempatan berketurunan Betawi dan ketika Nina mencapai umur 10 tahun, dia dihantar bersekolah di Singapura.

Menurut U-Wei, penggambaran Hanyut akan dijalankan awal tahun depan di Kuala Lipis, Pahang.

Jelasnya, pihak produksi akan membina tiga penempatan di lokasi penggambaran bagi menghidupkan suasana kurun ke-19.

Setakat ini, ujar U-Wei, antara pelakon yang sah akan membintangi Hanyut ialah Khalid Salleh untuk watak Babalatchi, Sabri Yunus (Mahmat) serta dua pelakon ternama Indonesia, Alex Komang sebagai Sayed Rashid dan El Manik (Lakamba).

"Idea menghasilkan filem ini sudah saya lontarkan sejak 10 tahun lalu. Atas faktor kewangan, ia tidak dapat dilaksanakan.

"Skrip semuanya sudah siap. Ia akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Saya bukannya memfilemkan buku Almayer's Folly tetapi menjadikannya sebagai inspirasi,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hanyut di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Duta Poland ke Malaysia, Eugeniusz Sawicki dan Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom (M) Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Jelas U-Wei, watak Almayer merupakan watak utama dan pihak produksi telah pun menjalankan sesi uji bakat di Australia bagi mencari mereka yang menepati kehendaknya.

Tanah Licin juga, katanya, sedang mencari beberapa lagi pelakon untuk memegang watak sebagai Nina, Taminah (orang gaji), Mem (ibu Nina), Dain Maroola.

Dain Maroola merupakan seorang putera yang bijak dan tampan. Pemegang watak ini haruslah berusia antara 25 hingga 35 tahun dan mempunyai sosok tubuh yang tegap serta menarik.

Untuk watak ibu kepada Nina pula, wanita Melayu berusia 30 hingga 45 tahun dicari U-Wei manakala Taminah (wanita Melayu lingkungan usia 17 ke 25 tahun).

Siapa Nina?

Sementara itu, U-Wei memberitahu, bagi menghidupkan watak Nina, Tanah Licin kini mencari seorang wanita berwajah Pan-Asia yang memiliki wajah jelita, tinggi lampai dan mempesona. Berusia awal 20-an, katanya, dia tidak kisah andai Nina dilakonkan oleh pelakon baru asalkan pemegang watak itu menepati kriteria yang ditetapkan selain bijak berlakon. Sesi uji bakat akan dijalankan secara online menerusi laman web www.findingnina.com. Caranya ialah dengan menghantar gambar dan video lakonan ke laman web berkenaan atau www.xpax.com.my/gotx yang dijana oleh Xpax. "Akhirnya nanti, saya dan mungkin bersama Sofea Jane akan memilih mereka yang terpilih untuk watak Nina nanti,'' katanya.Lawatan ke Poland

Kata U-Wei yang pernah dikritik hebat dalam Perempuan, Isteri & ... berkata, sekitar Jun lalu, dengan sokongan dan kerjasama Kedutaan Poland di Kuala Lumpur, beliau berpeluang melawat Poland untuk menjalankan kajian terhadap Joseph Conrad. Menurutnya, dalam lawatan ke negara itu, beliau turut berkesempatan bertemu dengan pengarah filem terkenal Poland yang menjadi idolanya, Andrezj Wadja. "Pada usia 83 tahun, kekuatan Wadja menjadi inspirasi kepada saya untuk maju ke hadapan. "Dia adalah mentor saya. Sepanjang 10 hari di Poland, kami banyak berborak dan berkongsi idea tentang filem,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: