Wednesday, August 26, 2009

Farawahida temui kunci kebebasan


FARAWAHIDA kini mengakui menemui kunci kebebasan.


BEBERAPA bulan lalu, kisah perang dingin membabitkan penyanyi Farawahida Razali atau Farawahida dan bekas pengurusnya, Julfekar Ahmad Shah menggemparkan dunia hiburan tanah air.

Mendakwa itu dan ini terhadap permasalahan yang dihadapi, ia berkemungkinan akan dibawa kepada penyelesaian di mahkamah.

Menyedari kemelut yang tidak berkesudahan dan saling berhubungkait Farawahida membuat laporan polis pada awal bulan lalu.

Laporan itu dibuat gara-gara Julfekar yang dikatakan enggan melepaskannya daripada Millenium Art Sdn. Bhd., syarikat rakaman milik komposer berkenaan.

Hal tersebut bertambah serius apabila Farawahida memberi kenyataan bahawa komposer itu telah mengugutnya untuk menyebarkan gambar bogelnya di internet.

Memberi maklum balas terhadap perkara itu, Julfekar pula lebih senang mengambil pendekatan membiarkan segalanya ditentukan di mahkamah nanti.

Kemelut ini semuanya bermula gara-gara Farawahid dikatakan tidak puas hati dalam soal kontrak membabitkannya dengan syarikat rakaman Millenium Art Sdn. Bhd.

Julfekar mendedahkan kononnya penyanyi itu telah melanggar kontrak yang dipersetujui sebagai artis naungan Millenium Art.

Kontrak Farawahida bersama Milenium Art menurut Julfekar ialah 5+1 iaitu lima tahun campur satu tahun pilihan syarikat.

Bagaimanapun, Farawahida enggan meneruskan kontrak itu dan dia dikatakan mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak mahu lagi bersama syarikat rakaman itu.

Melihat apa yang berlaku sebagai pengajaran untuknya berhati-hati pada masa depan kini, dia merasakan nikmat kebebasan tanpa terikat dengan pihak yang akan menentukan itu dan ini terhadapnya.

Enggan untuk dikaitkan dengan Julfekar lagi, Farawahida yang ditemui pada sesi rakaman Aidilfitri Nona dan Wanita Hari Ini (WHI) di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia kini bagaikan baru 'dilahirkan semula' sebagai seorang insan bernama Farawahida.

Sementelah, Farawahida kini secara tidak rasminya sudah bergerak sendiri untuk menentukan corak masa depan hidup dan kerjayanya sebagai penyanyi.

"Selepas kes saya dan dia (Julfekar) heboh diperkatakan, saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk aktif menyanyi.

"Lagipun, saya sekarang ini sedang mengumpul wang untuk menghasilkan single sendiri.

"Kini, saya kena jadi diri saya sendiri dan berdiri di atas kaki sendiri. Saya sudah tidak ada apa-apa dengan dia lagi,'' katanya.

Ujar Farawahida, dalam keadaan yang seakan mencabar kesabaran, keluarga merupakan pihak yang banyak memberikannya semangat untuk terus melalui liku-liku kehidupan.

Tidak tergugat dengan segala dakwaan, jelasnya, selama dilihat tidak sehaluan lagi bersama Julfekar, dia masih memperoleh tawaran mengadakan persembahan.

"Alhamdulillah, tidak ada pula orang yang mencemuh atau mengutuk saya. Banyak juga tawaran persembahan yang saya dapat.

"Apa yang saya boleh simpulkan, kehidupan saya sekarang ini lebih nikmat dengan kata kuncinya ialah kebebasan,'' jelasnya yang mengambil tindakan menyepi seketika sebaik bergelumang dengan permasalahan yang melanda.

Ketika ditanya apakah tidak ada jalan penyelesaian untuknya berbaik semula dengan Julfekar, Farawahida berkata;

"Tidak kira siapa dia, apa pun, dia sudah buat hal dengan saya. Belum masanya untuk kami berbaik semula."

Keyakinan Farawahida

Kata Farawahida yang juga juara Etnik Kreatif untuk lagu Persoalan Cinta di Anugerah Juara Lagu ke-23, Januari lalu, meski dibelenggu dengan kemelut tersebut, dia tetap yakin terhadap kerjayanya di masa hadapan.

"Insya-Allah, saya boleh naik semula. Sekarang ini pun saya sedang memikirkan bagaimana cara untuk memantapkan diri.

"Saya juga akur bahawa akan ada peminat yang larikan diri daripada saya atas apa yang berlaku ini. Insyaallah saya tidak akan putus asa,'' tegasnya yang baru sahaja selesai menjalani rakaman program raya Sinar Lebaran di Singapura.

Ditanya mengenai usahanya untuk menghasilkan single sendiri, Farawahida memberitahu bahawa ada sebahagian peminatnya yang bermurah hati untuk menghantar lagu menerusi Facebook.

"Akan saya teliti lagu-lagu itu. Mungkin juga selepas ini saya akan hasilkan lagu sendiri,'' tambah Farawahida yang merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Taiping, Perak pada Aidilfitri nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: