Wednesday, August 26, 2009

Tukang Kata bukan disingkir : Ahli Fiqir

Kontroversi yang melanda kumpulan yang berasal dari Singapura, Ahli Fiqir mengenai kehilangan seorang anggotanya, Samsul Nahar atau lebih dikenali sebagai Tukang Kata terjawab baru-baru ini ketika majlis sidang akhbar dan pelancaran album ketiga mereka, Irama Berima.

Kehilangan Samsul yang dikatakan keluar daripada menganggotai Ahli Fiqir disangkal sekeras-kerasnya oleh rakan Ahli Fiqir yang lain iaitu Daly, Mawar Berduri dan DJ Ceza.

“Tukang Kata hanya merehatkan diri daripada mengikuti sebarang aktiviti seni Ahli Fiqir. Bukan seperti yang didakwa oleh banyak pihak yang menyatakan dia keluar atau disingkirkan daripada Ahli Fiqir.

“Menerusi album ketiga kami ini, Tukang Kata turut terlibat tetapi hanya di balik tabir pembikinan album. Dia mempunyai masalah peribadi yang perlu diselesaikan sebelum memutuskan untuk bersama kami kembali,” jelas Daly menceritakan keadaan sebenar.

Bagaimanapun, Daly menafikan bahawa Tukang Kata menghadapi masalah dengan anggota Ahli Fiqir sebaliknya hanya masalah peribadi yang hanya diketahui oleh Tukang Kata.

Tambah Mawar: “Masalah yang dihadapi kami ini tidaklah asing bagi sesebuah kumpulan muzik. Kumpulan muzik lain pun dah banyak mengalami masalah yang sama.”

Namun, apa yang terjadi tidak langsung mematahkan semangat Ahli Fiqir untuk terus memperjuangkan bakat seni mereka memandangkan perjalanan mereka masih jauh lagi untuk mengecap kejayaan yang lebih besar. Selepas Hari Ini Dalam Sejarah dan Rap Untuk Rakyat, kini mereka tampil dengan album Irama Berima yang menampilkan empat buah lagu baru dengan mempertaruhkan single yang bertajuk Fiqir-Fiqir.

Fiqir-Fiqir adalah sebuah lagu yang diilhamkan daripada lagu Dikir Fikir nyanyian Art Fadzil suatu ketika dahulu. Namun Fiqir-Fiqir versi Ahli Fiqir memberi sedikit kelainan dengan menyuntik irama yang lebih segar.

Selaku kumpulan yang merantau di Malaysia, Ahli Fiqir mengambil risiko ketika mula-mula memasuki pasaran tempatan apabila mengetengahkan irama rap Nusantara sebagai kekuatan. Nyata tindakan itu berbaloi apabila lagu Samseng, Angguk-Angguk Geleng-Geleng dan Dia Datang mendapat pujian ramai terhadap kelainan yang dibawa oleh mereka terutama apabila menampilkan irama yang jarang dipraktikkan kumpulan yang sedia ada.

“Kalau diikutkan, kontrak Tukang Kata masih lagi bersama dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia. Untuk itu, kami tidak boleh menunggu lama untuk meneruskan perjalanan karier Ahli Fiqir sebaliknya kami harus terus aktif meneruskan kerjaya seni kami,” kata Daly.

Daly turut akui pasaran album kini yang agak lembap disebabkan trend artis yang fokus terhadap jualan muat turun. Namun, mereka akan memberi tumpuan kepada promosi agar terus mendapat sambutan peminat.

Selain Fiqir-Fiqir, empat lagu lain yang dimuatkan dalam Irama Berima ialah Biarkan, Derita Merindu, Janganlah Pergi Mawar serta sebuah lagu yang berkolaborasi bersama Yassin, Fantasi.

Ahli Fiqir pernah dinobatkan sebagai Artis Terbaru Terbaik Singapura dan mengungguli Album Terbaik Singapura menerusi album Hari Ini Dalam Sejarah di Anugerah Planet Muzik 2005. Album ketiga itu juga menjadi album pertama Mawar setelah dikurniakan seorang cahaya mata November lepas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: