Friday, August 28, 2009

Sanggup digelar gila kerana Aznil, Din Beramboi

GARA-gara terlalu meminati penyampai radio Era FM kesayangannya iaitu Aznil Nawawi dan Din Beramboi, suri rumah Zaleha Idris sanggup menghabiskan masa selama tiga minggu berkepit dengan penyampai radio itu.

Sepanjang tempoh itu, Zaleha tidak pernah berganjak ke hulu dan ke hilir malah tidur dan makan pun bersama dua selebriti itu. Lebih mengejutkan lagi, Zaleha turut diberikan habuan kerana kesetiaannya menemani mereka berupa wang tunai sebanyak RM50,000 sebagai belanja harian.

Sebenarnya, Zaleha adalah pemenang bagi pertandingan Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini anjuran stesen radio Era FM yang menganjurkan pertandingan itu bermula 27 Julai hingga 14 Ogos lalu.

Pertandingan ini meminta peserta mengusung ke mana saja papan poster yang memaparkan gambar penyampai Era FM, Aznil Nawawi bersama Din Beramboi untuk dirakamkan foto atau video secara kreatif.

Menurut Zaleha, pelbagai pengalaman menarik, lucu terpaksa diharungi sepanjang mengikuti pertandingan itu sehingga disapa sebagai orang gila.

“Memang saya tidak nafikan dituduh orang gila kerana mengusung ke mana saja poster besar itu dan merakamkan gambar di tempat yang saya rasakan menarik.

“Saya pernah dijerit perempuan gila ketika mengambil gambar di Pasar Selayang bersama poster itu di celah ayam daging yang tergantung. Namun paling sedih apabila suami pun menuduh saya sudah gila kerana ke mana saja dengan poster ini.

“Walaupun dia berkata begitu tetapi ke mana saja saya hendak pergi dialah yang akan menghantarkannya,” katanya yang bersyukur kerana suami menyokong apa yang diusahakan selama ini sehingga memperoleh RM50,000 sebagai pemenang.

Zaleha turut menceritakan kenangan yang paling manis apabila dia berkesempatan bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama poster yang dibawanya itu.

“Saya rasa disebabkan gambar inilah yang membuatkan saya terpilih sebagai pemenang kerana keberanian saya mendekati Perdana Menteri untuk memohon bergambar bersama saya dan poster ini.

“Masa itu saya ternampak Perdana Menteri di Berjaya Times Square lalu dengan cepat saya ke sana dan memohon kepada pengawal peribadinya untuk bergambar bersama Perdana Menteri sekejap saja. Lalu semua gambar itu saya e-melkan kepada Era FM,” katanya.

Pengurus Program Saluran Era FM, Nazri Noran, berkata, pertandingan yang bermula 27 Julai hingga 14 Ogos lalu disertai 2,000 peserta yang menerima poster ini yang diedarkan sekitar Lembah Klang, Utara dan Selatan tanah air.

“Mereka harus bersama poster ini sepanjang tiga minggu dan merakamkan kenangan mereka dalam bentuk gambar atau video lalu memasukkan ke dalam internet melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster dan MySpace mahupun YouTube.

“Kami mengadili pemenang bersama wakil pasar raya terkemuka Carrefour berdasarkan kreativiti dan usaha mereka disamping keaslian gambar yang diambil.

“Ternyata Zaleha menjalankan tugas dengan baik apabila gambar yang terbaik dirakam iaitu bersama Datuk Paduka Seri Shahrizat Abdul Jalil di suatu majlis yang turut dihadiri Aznil Nawawi sendiri menjadi pilihan juri,” katanya.

Hadiah disampaikan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi, Carrefour Malaysia, Low Ngai Yuen. Tempat kedua dimenangi Sarina Salmin yang menerima baucar Carrefour bernilai RM500 dan ketiga Nurafzan Mohd Nezar menerima baucar RM300.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: