|
|
SHAH ALAM - Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus menolak teori peguam Gobind Singh Deo bahawa dua pegawai SPRM diarah melakukan serangan psikologi dan penderaan terhadap Teoh Beng Hock untuk membuatkan setiausaha politik Exco Selangor itu mengalah dan memberikan pengakuan seperti yang dikehendaki SPRM.
Mohd. Ashraf saksi ke-19 pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini semalam turut menafikan dakwaan Gobind bahawa serangan fizikal dan mental terhadap Beng Hock berlarutan sehingga lewat pagi di pejabat SPRM di Tingkat 14 Plaza Masalam di sini, sebelum dia ditemui mati di Tingkat 5 bangunan itu pada 16 Julai lalu.
Dalam keterangannya, Mohd. Ashraf berkata, beliau diarahkan oleh Ketua Unit Siasatan SPRM Hairul Ilham Hamzah untuk membantu penolong penguasa Arman Alias menemu bual mendiang berhubung tuntutan Anggota Dewan Undangan Negeri, Ean Yong Hian Wah.
"Saya hanya menyemak dan menyusun dokumen yang dicetak daripada komputer riba Beng Hock dan bertanyakan dokumen mana yang ditandatangani oleh mendiang," katanya.
Mohd. Ashraf berkata, beliau dan Arman menemu bual Beng Hock di pejabat SPRM selama dua jam mulai pada pukul 10.40 malam pada 15 Julai lepas.
Beliau berkata, walaupun Beng Hock gagal memberikan penjelasan berhubung empat invois yang dicetak daripada komputer ribanya, mendiang masih memberikan kerjasama sepanjang temu bual itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: