Friday, August 28, 2009

Sajian RTM sempena Ramadan, Merdeka


BARISAN para pelakon dalam telemovie Songkok yang akan disiarkan di TV2.


MENJELANG Ramadan dan Hari Kemerdekaan negara ke-52 tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lupa untuk bersama membangkitkan rasa cintakan tanah air di samping menimbulkan kenikmatan menjalani ibadah puasa.

Menerusi saluran TV1, TV2 dan 34 buah stesen radionya, tema kemerdekaan dan Ramadan diselitkan dalam program-programnya.

Untuk Ramadan, TV1 hadir dengan tema Nikmat Ramadan di TV1, manakala TV2 pula menawarkan program Ikhlas Ramadan di TV2.

Melalui Nikmat Ramadan di TV1, saluran utama RTM itu membariskan program terhebat yang meliputi drama bersiri, dokumentari, program masakan serta program agama.

Antara program-program itu ialah drama bersiri Ramadan Bersamamu dan Seharum Kasturi, manakala terdapat juga dokumentari yang menghidangkan tujuh buah program iaitu Melangkau Destinasi, Antidot, Sihat Ramadan, Land of Prophets, Syahadah (musim kelima), Pertama Ramadan dan Ronda-Ronda Ramadan.

Bagi program masakan, TV1 menghimpunkan enam program seperti Ketuk-Ketuk Ramadan Bersama Sheila Rusly, Citarasa Selebriti Bersama Datuk Siti Nurhaliza, Jurnal Chef, Jom Rasa, Kulinari Daisy Chef Liza dan Ramadan Bersama Naida.

Program bercorak keagamaan juga tidak ditinggalkan yang merangkumi Tijarah, Siaran Langsung Solat Tarawih Dari Mekah, Tadarus al-Quran, Ramadanku serta Khas Ramadan.

Di TV2 pula, Ikhlas Ramadan di TV2 membawakan enam buah telemovie khas, dua buah drama bersiri, 11 buah program majalah di samping program istimewa Persiapan Raya Kaum India Muslim dan Persiapan Raya Kaum Cina Muslim.

Telemovie khas menghidangkan drama Di Bawah Teduh Lazuardi, Nur Ar Rahman, Buah Nau Halwa Kabung, Memintas Seribu Bulan, Anak Cucu Tok Wan dan Email Dari Ankara, selain drama bersiri Pas Az Baran serta Hanya Tuhan Yang Tahu.

Tidak cukup dengan itu, 11 buah program majalah di TV2 menjanjikan pelbagai maklumat seperti Busana Lebaran, Fesyen De Raya, Sajian Ramadan Bersama Chef Wan, Uli-Uli Aidilfitri Bersama Chef Nazri Redzuawan, Diet @ Ramadan, Sinaran Sihat, Enak Lagi Sihat, Aneka Rasa Ramadan, Syahadah dan Syahadah (India).

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya, sempena bulan Ramadan, sebanyak 54 jam diperuntukkan bagi penayangan program di televisyen dengan kesemuanya adalah rancangan-rancangan baru.

"RTM menyediakan rancangan yang baru. Tiada ulangan dilakukan terhadap rancangan-rancangan yang lalu,'' katanya pada sidang media Pertemuan Murni Ramadan dan Merdeka RTM di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya, kebanyakan program yang disediakan adalah untuk membantu penonton dan pendengar memahami erti kemerdekaan serta menghayati Ramadan.

Sementara itu, di pihak radio pula, kehadiran Ramadan sememangnya dinanti-nantikan oleh pendengar setia radio-radio milik RTM.

Sebagai contoh, radio Klasik Nasional yang terkenal dengan lagu-lagu Melayu klasik akan membawakan Resipi Warisan Ramadan, manakala KLfm menampilkan Menu Ramadan @ KLfm serta Prebiu Buku Khas Ramadan yang mengetengahkan buku-buku panduan mengenai penghayatan Ramadan.

Turut serta, saluran radio khusus untuk masyarakat Orang Asli, ASYIKfm yang menyediakan sebuah rancangan berjudul Suci Henem.

Di samping rangkaian radio nasional, stesen radio negeri juga tidak ketinggalan dengan pelbagai program menarik masing-masing.

Program Merdeka

Untuk sambutan kemerdekaan pula, TV1 dengan tema Bersatu Merdeka di TV1 menghidangkan 17 buah program khas dan Merdeka TV2 bagi tema saluran TV2 dengan lapan buah filem serta telemovie terbaik yang berkonsepkan kemerdekaan.

Antara program sempena kemerdekaan di TV1 ialah Paradigm, Riak-Riak Merdeka, Kebebasan, Mercu Merdeka, 8 Glittering Malaysian, Malaysia's Success Story, Majalah Kanak-Kanak Merdeka, Tokoh-Tokoh Merdeka, Gerbang Merdeka (The Making of Malaysian Society), Tun Sambanthan dan Tunku Abdul Rahman, The Residency Years, Unburying The Past - Perak Man, Bajau Laut - Nomads of The Sea untuk program dokumentari selain sebuah program muzikal, Simfoni Merdeka.

Empat buah telemovie khas bakal ditayangkan iaitu Lemas Dalam Cinta, Namaku Bukan Setsuko, Bunga Dari Liverpool dan Menantu Tiga Rasa.

Menerusi TV2, lapan buah filem serta telemovie yang disediakan ialah 1957 Hati Malaya, Chicken Little, Songkok, Kasih Merdeka, Bunga Raya Untuk Su Tin, Hati Yang Merdeka, Azam dan Daerah Kelabu.

Songkok lakonan Mubarak Majid, Jesse Lim, Hasnol Rahmat, Justin Choo, Maimon Mutalib, Nurul Hidayah Ishak dan Abdul Hadi Hassan mengajak penonton berkongsi kisah suka duka Mustafa, seorang pembuat songkok tradisional sejak zaman sebelum merdeka.

Dalam pada itu, laungan semangat patriotisme bakal berkumandang di 34 buah stesen radio RTM dengan gabungan satu suara.

Selain radio berbahasa Melayu, Aifm, stesen berbahasa Mandarin akan menyiarkan drama khas merdeka iaitu 1 Malaysia di samping sampaikan salam merdeka dalam Salam 1 Malaysia.

Bagi masyarakat India, MINNALfm juga memeriahkan sambutan merdeka dengan Sketsa Merdeka dan Pantun Merdeka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: