|
|
RAMAI yang tahu tragedi kisah cinta dan anutan agama gadis Belanda bernama Natrah yang terpaksa berpisah daripada keluarga angkatnya yang beragama Islam pada tahun 1950-an.
Malah, Natrah atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh pada ketika itu juga sudah berkahwin dengan jejaka Melayu, Mansur Adabi tetapi sayang jodohnya tidak berpanjangan.
Disebabkan faktor undang-undang dan keadaan semasa tidak menyebelahinya menyebabkan dia dipisahkan daripada suaminya dan dibawa pulang oleh keluarga asalnya ke Belanda.
Natrah yang meninggal dunia pada 9 Julai lalu meninggalkan kenangan pahit dalam lipatan sejarah negara di mana anutan agama beliau pada penghujung hayatnya menjadi pertikaian ramai.
Justeru apabila Istana Budaya berhasrat mahu mementaskan kisah Natrah di Panggung Sari sebagai sebuah naskhah teater, ia bukanlah perkara yang mudah untuk direalisasikan.
Pengarah teater Natrah, Erma Fatima mengakui, cabaran terbesarnya mengarahkan teater itu ialah bagaimana mahu mengangkat syiar Islam berdasarkan kisah hidup wanita tersebut.
"Cabaran atau dilema saya ialah bagaimana saya mampu memenangkan atau mengangkat imej agama Islam daripada kisah Natrah itu di saat kita kalah dalam isu tersebut.
"Ini kerana, ada yang kata Natrah mati dalam bukan agama Islam dan ada juga yang kata Natrah pada penghujung hayatnya merupakan seorang yang berfahaman free thinker (tiada agama).
"Saya harus berhati-hati dengan segala sensitiviti dan sensasi yang bakal tercetus. Saya harap bukan saya yang cetuskan kontroversi kerana kisah Natrah itu sendiri sudah sensasi," katanya.
Itu adalah nada kebimbangan Erma berhubung teater Natrah ketika ditemui sebelum sidang media teater tersebut di Bilik Seri Nilam, Istana, Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Teater Natrah yang kini sedang mencari barisan pelakonnya dijadualkan menjalani latihan pada Oktober ini sebelum ia dipentaskan di Panggung Sari dari 17 hingga 25 November ini.
Selaku pengarah serta penulis skrip Natrah, Erma cuba menekankan soal agama dan bangsa Melayu sebagai memenuhi hasrat Istana Budaya selaku penganjur pementasan tersebut.
"Saya menerima tawaran mengarahkan Natrah daripada Istana Budaya. Ia juga dipentaskan atas kehendak Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).
"Ia suatu tanggungjawab yang besar buat saya. Teater ini bukan setakat tentang Natrah yang dipisahkan daripada keluarga angkatnya tetapi ia juga ada kaitan dengan maruah agama Islam.
"Itu adalah isu yang harus kita ketengahkan kepada masyarakat. Skrip teater ini juga dalam proses untuk disiapkan dan saya masih memilih daripada sudut mana cerita ini akan dihalakan," ujarnya.
Menurut Erma, cabaran mengarah Natrah satu daripada dua perkara yang belum dilaksanakannya iaitu mengangkat syiar Islam melalui seni dan menjadi ibu serta isteri yang baik.
Sementara itu, pengkaji dan penasihat teater Natrah, Datin Fatini Yaacob pula berkata, selepas membuat kajian selama 20 tahun baru kini beliau dapat merumuskan kisah wanita Belanda itu.
"Ada tiga perkara utama yang saya boleh rumuskan iaitu kisah Natrah adalah kisah perjuangan bangsa Melayu yang dijajah oleh British dan Belanda.
"Keduanya ia tentang semangat orang Melayu yang cintakan agamanya bagi menentang British di mana perjuangan ini amat mulia dan patut dihormati oleh generasi hari ini.
"Dan yang ketiganya kisah Natrah adalah kisah pertentangan antara undang-undang sivil dan undang-undang Islam. Dalam kes ini pihak penjajah telah memperlekehkan agama Islam," jelasnya.
Fatini yang mula mengkaji tentang kisah hidup Natrah sejak 1989 sewaktu bertugas sebagai wartawan akan membantu Erma dalam menyediakan susur galur cerita teater tersebut.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia, Mohd. Yazid Zakaria.
Pada majlis itu, Mohamed Juhari mengumumkan Istana Budaya juga akan mengadakan Konsert 1Malaysia bersama Orkestra Tradisional Malaysia pada 27 hingga 29 September ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: