KUALA LUMPUR - 'Menyelam sambil minum air'. Mungkin itulah tindakan seorang petugas Pos Malaysia Berhad apabila bukan saja mencari rezeki dengan makan gaji, malah sibuk menjual mercun dan bunga api pada musim perayaan bagi menambah pendapatan.
Kegiatan lelaki berusia 33 tahun dari Tanah Merah, Kelantan itu dipercayai telah berlarutan sejak musim perayaan tahun lalu.
Difahamkan, lelaki tersebut akan mengambil bekalan barang terlarang itu dari Golok, Thailand setiap kali dia ditugaskan menghantar surat-surat ke Kelantan.
Dengan menggunakan lori kontena Pos Malaysia yang membawa muatan mercun dan bunga api ke Kuala Lumpur dari Kelantan, kegiatan suspek itu sukar dikesan.
Difahamkan, hasil kerja sampingannya pada tahun lalu, suspek yang telah berumah tangga itu meraih keuntungan mencecah hingga RM300,000 dan pada tahun ini suspek mahu mengganda- kan pendapatan sampingannya kepada RM500,000.
Bagaimanapun, jenayah petugas pos yang bekerja di bahagian pengagihan di Kompleks Dayabumi itu terbongkar apabila dia ditangkap ketika sibuk menjual mercun dan bunga api di tempat kerjanya pada pukul 10.30 malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, polis menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam kereta suspek dipercayai untuk dijual kepada pelanggannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: