LONDON - Seorang penulis blog mahu menyaman Google sebanyak AS$15 juta (RM52.7juta) selepas enjin carian Internet itu mendedahkan identitinya kerana memaki seorang model, lapor sebuah akhbar semalam.
Google terpaksa mendedahkan identiti Rosemary Port selepas ia menerima arahan sebuah mahkamah kerana penulis blog itu disaman oleh model, Liskula Cohen kerana menggelarnya andartu di laman web Blogger.com.
Namun, Port yang merupakan seorang pelajar berusia 29 tahun tidak berpuas hati dengan alasan Google.
Sebaliknya, dia mahu menyaman firma Internet itu kerana ia gagal melaksanakan tanggungjawab bagi melindungi identitinya.
"Sebelum ini, perbalahan antara kami bersifat peribadi.
"Namun, semuanya berubah apabila kes itu dibawa ke mahkamah.
"Kini pergaduhan kami diketahui oleh media dan hak peribadi saya sudah diceroboh," katanya.
Cohen pernah memberitahu mahkamah bahawa dia kerap disoal oleh bakal pelanggannya tentang dakwaan di blog tersebut serta tindak-tanduknya dalam satu gambar yang turut disiarkan di laman tersebut.
Cohen yang merupakan seorang model kelahiran Kanada tetapi tinggal di New York, pernah memperaga jenama Giorgio Armani dan Versace selain menjadi penghias kulit majalah Vogue edisi Australia.
Namun, kerjaya peragaannya terhenti pada Januari 2007 apabila seorang lelaki menikam mukanya dengan serpihan gelas yang pecah menyebabkan dia menerima 46 jahitan.
Cohen berkata, perkataan dalam laman blog itu bersifat fitnah dan menjejaskan kerjayanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: