KUALA TERENGGANU - Sebuah kilang besi melibatkan pelaburan bernilai RM3 bilion akan dibina di kawasan seluas 400 hektar di Teluk Kalong, Kemaman tidak lama lagi.
Projek berskala besar itu dijangka memberikan peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,000 penduduk tempatan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw (gambar) pada majlis penyerahan sumbangan kepada wakil surau dan masjid di pekarangan Masjid Zainal Ibidin di sini semalam.
Menurut beliau, projek tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar dengan wujudnya industri berat di situ sekali gus menyumbang kepada aktiviti ekonomi secara lebih aktif.
"Kita lihat kawasan tersebut berpotensi dan amat sesuai untuk perindustrian berat dan pastinya akan memberikan impak positif kepada kemajuan ekonomi setempat," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan bersedia untuk meluluskan pembangunan di lebih banyak kawasan di negeri ini bagi menjana pendapatan negeri.
Jelas Chin Yaw, ketika ini kerajaan negeri sedang mempertimbangkan beberapa permohonan industri berskala besar termasuk industri petrokimia.
Tambahnya, para pelabur asing juga digalak untuk melabur di negeri ini dan antara permohonan yang sedang dipertimbangkan ialah dari China, Taiwan, Iran dan Australia.
"Ia satu perkembangan yang positif kepada kemajuan negeri Terengganu dalam bidang perindustrian berat," katanya.
Beliau berkata, pelbagai insentif sedia ada kepada pelabur seperti pengurangan cukai, skim pembayaran cukai ansuran serta penyediaan kemudahan infrastruktur yang lengkap dan selesa akan dikekalkan bagi menarik lebih ramai pelabur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: